Artikel Terkini

5 Perkara yang Anda Boleh Lakukan Ketika PKP


Pada 25 Mac yang
lepas, seluruh negara dikejutkan dengan pengumuman lanjutan kepada perintah
kawalan pergerakan (PKP) sehingga 14 April, menjadikan tempoh PKP menjadi 28
hari secara keseluruhan. Hal yang demikian adalah kerana trend kes positif
COVID-19 baru tidak menunjukkan tanda ia semakin berkurang, malahan semakin
naik.

Namun, dengan sambungan tempoh PKP ini, dianggarkan bahawa kita akan berjaya meratakan curve kes positif baru dan memudahkan staf kesihatan melakukan kerja untuk mengawal COVID-19 dari merebak secara tidak terkawal. Menteri Kanan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan dalam sebuah keratan akhbar bahawa tahap pematuhan kepada PKP telah meningkat kepada 97%, iaitu paras yang sangat cemerlang.

Ini adalah hasil kerjasama pihak polis bersama anggota Angkatan Tentera Malaysia yang amat tegas dalam menjalankan tugas.

Dalam mematuhi
PKP, rakyat disarankan untuk duduk diam-diam di rumah dan hanya ketua keluarga
dibenarkan keluar atas alasan yang munasabah, seperti membeli barang keperluan
rumah. Kebanyakan syarikat juga telah mengeluarkan notis menyuruh pekerja agar
bekerja dari rumah, terutamanya yang tidak memerlukan pekerja tersebut berada
di pejabat.

Berikutan PKP ini, ramailah warga maya yang berkongsi aktiviti yang dilakukan di rumah seperti menonton Netflix, bermain permainan video, dan tak kurang juga berkongsi resipi masakan terbaru. Kalau anda rajin mengunjungi Facebook, Instagram, dan Twitter, anda juga akan mendapati bahawa kopi Dalgona sedang tular sekarang.

Penulis juga
teringin nak berkongsi beberapa idea yang boleh dilakukan oleh anda dalam
menangani kebosanan duduk di rumah. Penulis bukan jenis yang suka berjalan
sangat pun, tapi siapa yang tak rimas kalau 28 hari duduk kat rumah saja kan?

1. Menyusun Semula kKwangan

Ini kan laman web tentang pelaburan, perkara pertama mestilah kena sebut tentang kewangan kan? Kalau anda peka dengan isu semasa, anda mesti tahu beberapa inisiatif bernilai RM250 bilion yang baru sahaja diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ini susulan daripada moratorium ke atas pinjaman yang diumumkan sebelumnya. Penulis rumuskan beberapa butiran yang mungkin relevan kepada anda di bawah:

  • Dana khas oleh insurans dan
    takaful berupa RM8 juta untuk kos penyaringan yang diarahkan
  • Penangguhan bayaran premium
    insurans dan takaful selama 3 bulan bagi yang terjejas
  • Elaun khas doktor, jururawat,
    dan kakitangan perubatan yang terlibat secara langsung dinaikkan ke RM600
  • Elaun khas RM200 sebulan kepada
    tentera, polis, kastam, imigresen, pertahanan awam, RELA
  • Bantuan tunai bernilai RM10
    bilion kepada semua yang tergolong dalam kumpulan M40 dan ke bawah melalui
    Bantuan Prihatin Nasional
  • Baki pemberian tunai skin
    Bantuan Sara Hidup bernilai RM3.2 bilion
  • Bantuan sebanyak RM200 seorang
    kepada pelajar pengajian tinggi
  • Peruntukan 25 juta untuk warga
    emas dan kanak-kanak di rumah perlindungan, OKU, gelandangan, dan orang asal
  • Penangguhan bayaran balik PTPTN
    selama 6 bulan, bernilai RM750 juta
  • Penangguhan bayaran balik
    peminjam Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran selama 6 bulan, bernilai
    RM149.2 juta
  • Penggantian pendapatan RM50
    sehari untuk tempoh maksimum 14 hari kepada golongan B40 yang dikuarantin
    sebagai PUI atau dimasukkan ke hospital akibat COVID-19 menerusi skim mySalam
  • Pengeluaran dari akaun B skim
    persaraan swasta sehingga RM1,500 tanpa penalti cukai sehingga Disember 2020
  • Pengecualian bayaran sewa PPR
    dan Perumahan Awam DBKL selama 6 bulan, bernilai RM3 juta
  • Diskaun kepada bil elektrik
    sektor pelancongan, komersial, industri, pertanian, isi rumah selama 6 bulan
  • Internet percuma kepada semua
    pelanggan dengan nilai RM600 juta sehingga tamat PKP
  • Tunai RM500 kepada 1.5 juta
    penjawat awam gred 56 kebawah termasuk kontrak
  • Tunai RM500 kepada lebih 850,000
    pesara kerajaan
  • Subsidi upah RM600 sebulan
    untuk tempoh 3 bulan kepada pekerja bergaji RM4,000 kebawah dan majikan yang
    menerima penurunan pendapatan lebih 50% sejak 1 Januari
  • Tunai RM500 kepada 120,000
    pemandu e-hailing
  • Tunai RM600 kepada pemandu teksi
  • Kerajaan menanggung bayaran
    gaji kepada pekerja kontrak perkhidmatan di sekolah, IPTA, institusi latihan
    awam dan agensi lain kerajaan dan badan berkanun sepanjang PKP

Sekiranya anda dalam golongan yang terjejas pendapatan akibat COVID-19, anda kenalah rancang semula pendapatan dan perbelanjaan anda segera. Untuk panduan, anda boleh rujuk Tips Mengurus Kewangan Dalam Jangkamasa Pendek Semasa Krisis Covid-19.

2. Belajar Kemahiran Baru

Bagi yang tidak dapat bekerja disebabkan PKP, anda disarankan agar belajar kemahiran baru secara online, contohnya dengan mengambil kelas, membaca, ataupun menonton Youtube. Dengan kemahiran baru, mungkin anda boleh mencari pendapatan sampingan atau sekadar meluangkan masa dengan perkara yang berfaedah.

Contohnya:

  • Berkebun
  • Memasak
  • Bertukang
  • Menulis
  • Belajar kemahiran teknikal seperti
    statistik
  • Belajar menggunakan perisian
    seperti Excel
  • Belajar ilmu pelaburan
  • Belajar ilmu marketing
  • Belajar programming
  • Menambah ilmu keagamaan dengan
    kuliah online

3. Meluangkan Masa Dengan Keluarga

Ini juga adalah peluang yang terbaik untuk meluangkan masa dengan keluarga. Bagi yang bekerja di rumah, tak semestinya 24 jam hanya dihabiskan menghadap komputer.

Masa rehat boleh digunakan untuk bermesra dengan pasangan dan anak-anak. Selain itu, kita juga sudah tidak perlu memandu atau ambil kenderaan awam ke tempat kerja, jadi masa yang dijimatkan itu sepatutnya boleh digunakan untuk bersama ahli keluarga.

4. Bersenam Secara Konsisten

Jangan jadikan PKP sebagai alasan untuk tidak bersenam. Pertama, PKP akan menyebabkan anda makan lebih banyak kerana perjalanan anda ke dapur akan menjadi lebih kerap. Ini fakta yang tidak boleh disangkal.

Kedua, yang bekerja di rumah akan lebih kurang bergerak. Kalau bergerak pun, ke dapur sahaja. Tak layak dikira sebagai bergerak pun.

Jangan terkejut kalau berat badan kita makin bertambah selepas berakhirnya PKP. Kalau nak elakkan perkara ini dari berlaku, jangan abaikan senaman.

Kalau ada mesin treadmill, lagi bagus. Kalau tak, anda boleh ambil tips dari artikel-artikel online atau pun tonton video YouTube.

Kalau taknak bersenam, boleh ikuti tips nombor 5 di bawah kerana boleh juga membantu mengawal berat badan.

5. Membuat Kerja Rumah

Kepada para
suami atau anak-anak yang tak banyak menghabiskan masa di rumah akibat bekerja
dan belajar bolehlah membantu isteri atau ibu di rumah membuat kerja rumah.
Ingat, menguruskan rumah bukan tanggungjawab isteri dan ibu semata-mata.

Bantulah cuci
bilik air, mop lantai, vacuum seluruh rumah, cuci tingkap, buang sampah,
memasak, beli barang keperluan, mandikan kucing, dan sebagainya. Semoga menjadi
tabiat yang diteruskan sampai bila-bila. InsyaAllah akan dapat mendidik kita
jadi suami dan anak yang lebih baik, di samping menjadi senaman yang membantu
mengawal berat badan.

6. Bonus: Perbanyakkan Ibadah

Mungkin ada hikmahnya semua ini berlaku. Sepatutnya, kita mengambil iktibar sebanyaknya dan memohon perlindungan dari Tuhan untuk mengelakkan bencana ke atas diri dan keluarga kita.

Dengan lebihan masa yang ada akibat duduk di rumah saja, kita boleh juga ambil peluang untuk meningkatkan amalan ibadah kita seperti solat sunat, membaca Al-Quran, dan menderma.

Lagipun bulan Ramadan sudah dekat.

Ditulis oleh Azam, seorang pengurus dana saham antarabangsa di sebuah institusi kewangan di Malaysia.

Penafian: Artikel ini merupakan pendapat dan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan rasmi mana-mana individu/organisasi. Penulis tidak menerima sebarang bayaran pengiklanan dari mana-mana individu/organisasi yang disebutkan di dalam artikel ini.



Source link