Artikel Terkini

Adakah Anak Derhaka Masih Berhak Mewarisi Harta Pusaka Ibu Bapanya?


“Along tak pernah kisah pun pasal arwah abah. Lepas habis belajar terus menetap dan kerja di KL. Sekarang arwah dah takde baru sibuk balik kampung tanya pasal bahagian pusaka dia. Dia masih ada hak ke?”

Mungkin ada sesetengah masyarakat kita yang masih kurang jelas tentang hukum perwarisan harta dalam Islam. Ditambah pula dengan cerita dan drama Melayu yang kadangkala memberikan maklumat dan kenyataan yang salah berkenaan perwarisan harta pusaka.

Jadi mungkin disebabkan itu, ada dari kalangan masyarakat kita yang menyangka hanya anak yang baik dan berbakti kepada orang tuanya saja yang layak menerima harta pusaka mereka.

Hakikatnya tidak, apabila telah dipastikan seorang anak itu memang lahirnya dari pasangan kedua ibubapanya, maka dia mempunyai hak perwarisan harta kedua orang tuanya.

Sekalipun jika dia bukanlah seorang anak yang baik.

Tanpa menafikan dosa menjadi anak derhaka, ia tetap tidak menghalang seseorang itu daripada menerima harta pusaka ibubapanya.

Faktor Yang Menghalang Perwarisan Harta Pusaka

Ada dua kategori yang menjadi sebab terhalangnya seseorang daripada menerima harta pusaka.

1. Disebabkan sesuatu kejadian atau situasi. Boleh dibahagikan kepada tiga faktor:

  • Perhambaan
  • Pembunuhan
  • Perbezaan Agama

2. Disebabkan wujudnya waris lain secara bersama. Bagi kategori ini pula, ia dipecahkan kepada dua iaitu:

  • Sama ada kewujudan waris yang lain akan menghalang waris yang satu lagi secara keseluruhan
  • Kewujudan waris yang lain akan mengurangkan hak pewarisan waris yang satu lagi.

Bagi kategori pertama, ianya mudah difahami. Kerana telah jelas dengan perincian yang dinyatakan. Sistem perhambaan tiada lagi pada zaman ini jadi ia tidak berlaku.

Pembunuh yang membunuh ibu atau bapanya tidak akan mewarisi harta pusaka mereka. Begitu juga dengan perbezaan agama.

Jika si anak beragam Islam, tetapi ibu bapanya tidak, maka anak tidak akan mewarisi harta mereka dan mereka juga tidak mewarisi harta si anak.

Apa yang mungkin rumit dan sukar difahami oleh orang awam kebanyakan adalah kategori kedua yang menjadi penghalang perwarisan harta.

Contoh mudah adalah, apabila si mati meninggalkan anak lelaki atau bapa; maka adik-beradik si mati terhalang dari menerima pusaka secara keseluruhan. Adik beradik si mati langsung tidak akan terima apa-apa harta pusaka si mati.

Contoh bagi kewujudan waris lain akan mengurangkan hak pewarisan waris yang satu lagi ialah apabila si mati mempunyai anak, isteri si mati menerima 1/8 bahagian pusaka kerana kewujudan anak si mati telah mengurangkan hak bagi isteri.

Jika si mati tiada anak, hak isteri adalah lebih banyak iaitu 1/4 bahagian.

Jadi bahagian faraid isteri bergantung kepada ada atau tidak anak bersama suami.

Ditulis oleh Fakhrur Radzi, seorang konsultan di sebuah firma runding perancangan harta dan urus pusaka. Beliau mengendalikan laman web fakhrurradzi.com. Untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi beliau di sini.



Source link