Artikel Terkini

Apakah Hak Seorang Wanita Dalam Pembahagian Harta Suami?


“Bak sini kunci rumah ngan
kereta, biar aku uruskan” kata Bang Long kepada isteri arwah.

Sudahnya lepas 3 tahun, isteri
dan anak arwah satu apa pun tak dapat. Walaupun arwah ada anak lelaki.

Situasi ini sebenarnya berlaku dalam masyarakat kita. Sama ada kita sedar atau tidak.

Berdasarkan pengalaman mengurus kes pusaka, kebiasaannya situasi ini terjadi kepada kaum isteri yang tidak bekerja dan menjadi surirumah sepenuh masa. Mereka sering menjadi mangsa kepada ahli keluarga lain yang rakus.

Para isteri seharusnya tahu dan
pertahankan hak mereka. Tidak sepatutnya terus diam dan tidak mengambil apa-apa
keputusan.

Hak Isteri Dalam Harta Suami

Seorang isteri mempunyai dua hak
terhadap harta suaminya.

1. Harta sepencarian (sehingga 50%)

2. Bahagian faraid isteri. Bahagian faraid isteri pula terbahagi kepada 2 keadaan:
– ¼ Jika arwah suami tiada anak
– 1/8 Jika arwah suami mempunyai anak. Sebagai contoh, jika suami berpoligami, atau pernah berkahwin lain, dan mempunyai anak, walaupun bukan dengan si isteri tersebut, maka bahagian faraid isteri tetap 1/8.

Berkaitan harta sepencarian,
ianya adalah hak yang boleh dituntut oleh si isteri sama ada ketika bercerai
dengan suami (semasa hidup) ataupun ketika suami meninggal dunia.

Mungkin ada dalam kalangan isteri yang merasakan, dia tidak mempunyai hak terhadap harta seperti rumah, kereta dan barangan di dalam rumah kerana mereka tidak bekerja dan tidak pernah keluarkan duit pun untuk membeli harta tersebut.

Ini tidak benar.

Sebagai isteri, walaupun tidak sama-sama menyumbang dari sudut kewangan terhadap harta bersama, tetapi isteri telah menguruskan rumahtangga dan anak-anak. Ini juga dikira sebagai sumbangan terhadap harta tersebut.

Sekiranya bercerai, ataupun suami meninggal dunia, isteri berhak membuat tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Syariah. Paling tinggi isteri boleh dapat sehingga 50% daripada harta sepencarian. Ianya bergantung kepada keputusan mahkamah.

Jika suami meninggal dunia,
urusan tuntutan harta sepencarian yang dibuat dulu. Setelah selesai tuntutan,
baki daripada harta pusaka suami tersebut baru diuruskan mengikut pembahagian
faraid pula.

Dalam harta pusaka suami ini yang bahagian faraid isteri ada dua situasi. ¼ jika suami tidak pernah mempunyai anak dan 1/8 sekiranya suami mempunyai anak yang masih hidup.

Maknanya jika suami meninggal,
bahagian harta yang berhak isteri terima adalah harta sepencarian sebanyak 50%
(paling tinggi) ditambah pula ¼ & 1/8 bahagian faraid.

Inilah sebenarnya
bahagian-bahagian harta yang berhak seorang isteri terima.

Isteri Tak Mampu Melawan Keluarga Suami

Walaupun hakikatnya bahagian harta yang berhak isteri terima adalah besar, tetapi isterilah pihak yang selalu dizalimi ketika urusan harta pusaka suami.

Sebagai perunding harta pusaka,
saya sering menerima kes di mana keluarga arwah suami telah dengan tidak
adilnya menguruskan pusaka anak lelaki mereka.

Antara yang membuat saya tergamam, ada satu kes di mana pada waktu pagi arwah suami selamat dikebumikan, di sebelah petang pula si isteri dihalau keluar daripada rumah oleh abang iparnya.

Si isteri dan anak-anak yang
masih kecil disuruh balik ke rumah ibubapanya.

Katanya mereka akan uruskan
pembahagian harta pusaka arwah. Akhirnya sehingga hari ini, selepas 5 tahun,
isteri dan anak-anak langsung tidak mendapat apa-apa pun.

Nak tuntut di Mahkamah memerlukan kos pula. Kerana tiada pilihan, si isteri terpaksa redha.

Kesimpulannya, Islam
adalah agama yang adil dan sangat memberi perhatian kepada kelebihan dan hak
kaum wanita.

Cumanya wanita itu sendiri kena ambil tahu tentang hak-hak mereka dan berfikir jauh ke hadapan dengan membuat perancangan harta bersama suami semasa masih hidup lagi. Ini bagi mengelakkan berlakunya pertelingkahan di antara keluarga di kemudian hari.

Ditulis oleh Fakhrur Radzi, seorang konsultan di sebuah firma runding perancangan harta dan urus pusaka.



Source link