Artikel Terkini

Apakah Itu ‘Environmental, Social and Governance’ (ESG) Dan 4 Sebab ESG Penting Kepada Bank?


Environmental, Social and Governance (ESG) merupakan kriteria yang digunapakai untuk menilai kesan amalan dan pelaksanaan sesebuah syarikat kepada prestasi kewangan dan operasi mereka. Pada mulanya, ESG hanya digunakan untuk mencari pelabur yang berpotensi dan sesuai.

Namun, sekarang ESG telah menjadi tumpuan para pelabur kerana pihak kerajaan turut memberi perhatian kepada ESG dan orang ramai juga sudah mempunyai kesedaran mengenai pengaruh ESG untuk sesebuah syarikat. Banyak syarikat besar yang didagangkan di pasaran saham seluruh dunia melaporkan inisiatif ESG mereka dalam laporan syarikat.

Faktor “Environmental”

Faktor ini menunjukkan pengaruh sesebuah
syarikat terhadap alam sekitar dan keupayaan mereka untuk mengurangkan kesan
negatif kepada persekitaran. Secara amnya, syarikat akan dinilai dengan
penggunaan tenaga, penghasilan sisa, tahap pencemaran, penggunaan sumber dan
kebajikan haiwan.

Faktor ini boleh memberi impak terus
kepada prestasi kewangan syarikat kerana syarikat yang tidak bertanggungjawab
terhadap alam sekitar akan dikenakan penalti. Kerosakan alam sekitar juga akan
mengganggu kawasan operasi syarikat dan mengurangkan kapasiti operasi mereka.

Faktor “Social”

Faktor sosial merupakan hubungan antara sesebuah
syarikat dengan syarikat lain dan komuniti setempat. Faktor sosial mengambil
kira kepelbagaian, hak manusia dan juga perlindungan pengguna.

Faktor ini memberi kesan kepada kejayaan
sesebuah syarikat dengan menarik lebih ramai pelanggan baru dan mengekalkan
pelanggan sedia ada serta menjaga hubungan dengan rakan niaga dan komuniti yang
terlibat dengan perniagaan.

Faktor “Governance”

Faktor ini mengambil kira urus tadbir syarikat dan hubungan dengan orang yang penting dalam syarikat termasuk pekerja dan pemegang saham. Urus tadbir syarikat yang betul dan telus boleh mengelakkan konflik. Selain itu, jika syarikat ditadbir dengan baik, lebih ramai pelabur akan berminat untuk membuat pelaburan dan pekerja yang mahir juga akan setia untuk berkhidmat di syarikat tersebut.

Dalam industri perbankan, ESG sangat penting kerana:

1. Terdapat Aliran Tunai Ke Sektor Perbankan

Pelaburan yang bernilai trilion dolar menjadi rebutan. Pelaburan yang baik dan memberi pulangan yang lumayan kini turut dipengaruhi oleh faktor ESG.

Prestasi kewangan yang kukuh pastinya ditadbir urus dengan baik, mempunyai jalinan hubungan perniagaan dan juga memastikan kelestarian alam sekitar agar mampu beroperasi dalam jangka masa yang panjang.

2. Boleh Mewujudkan Perniagaan Baru

Apabila kita mengambil kira faktor alam sekitar, banyak pihak yang mula mencari peluang untuk memulakan perniagaan yang mesra alam.

Sebagai contoh, mereka akan memulakan perniagaan kenderaan yang menggunakan elektrik. Mereka akan mencari dana sebagai modal daripada pihak bank.

3. Boleh Mewujudkan Kepelbagaian Dan Pergerakan Dalam Ekonomi

Pihak bank perlu memainkan peranan penting apabila memberi bantuan kewangan. Contohnya, sebagai bank yang mementingkan ESG; bank perlu lebih berhati-hati agar tidak membantu industri yang boleh mencemarkan persekitaran seperti industri perlombongan arang batu.

Pihak bank pasti akan mendapat kecaman daripada masyarakat setempat jika membantu memajukan kawasan perlombongan arang batu ini. Oleh itu, pihak bank boleh membantu syarikat yang ingin memulakan perniagaan baru yang mengikut piawaian ESG.

4. Untuk Mendapatkan Sumber Manusia Dan Tenaga Kerja Baru

Bank yang mengamalkan ESG akan menarik perhatian golongan muda yang mencari pekerjaan. Mereka lebih suka jika tempat kerja mereka merupakan institusi yang mengambil berat tentang alam sekitar dan masyarakat.

Dengan ini, pihak bank akan lebih mudah mendapatkan tenaga kerja baru yang berkualiti untuk masa hadapan.

Ditulis oleh Abang Yazree Hazwan. Penulis merupakan seorang Eksekutif di sebuah syarikat penyelidikan pasaran di Malaysia. Mempunyai pengalaman dalam bidang insurans/reinsurans di syarikat reinsurans tempatan.

Sumber Rujukan:

Komen

komen





Source link