Artikel Terkini

Asas Pengurusan Kewangan – Majalah Labur


Pengurusan kewangan merupakan topik yang dipandang remeh oleh kebanyakan orang. Mereka mengganggap pengurusan kewangan ialah berkenaan bagaimana membelanjakan gaji bulanan mereka.

Realitinya, topik pengurusan kewangan merangkumi pelbagai cabang termasuklah aliran tunai, pelaburan, pengurusan persaraan dan banyak lagi.

Langkah Pertama Dalam Pengurusan Kewangan adalah Simpanan

Bagaimana untuk memulakan simpanan? Banyak cara dan teknik yang boleh dipelajari untuk mula menyimpan atau menabung. Contoh yang paling mudah yang sepatutnya diajar oleh ibubapa kepada anak-anak sejak daripada kecil adalah dengan menabung.

Setiap bulan selepas dapat gaji, asingkan sebahagian wang untuk dimasukkan ke dalam tabung masa depan. Boleh juga letakkan matlamat jangka pendek dan sederhana sebagai motivasi untuk menabung.

Pastikan gaji dan pendapatan bulanan adalah lebih tinggi daripada perbelanjaan bulanan.

Apa perlu kita buat kalau perbelanjaan lebihi tinggi daripada gaji?

Perkara pertama yang boleh dilakukan adalah dengan mengubah gaya hidup. Kurangkan perbelanjaan terutama untuk perkara-perkara seperti merokok, minum air kopi mahal dan makan di restoran hipster. Cuba cari alternatif lain yang lebih murah dan berbaloi.

Selain daripada itu, kita juga boleh berusaha untuk tingkatkan pendapatan. Cuba cari side income secara sambilan, contohnya mengajar secara sambilan di hujung minggu. Sekiranya kita bekerja sepenuh masa, boleh juga berusaha lebih untuk dapatkan kenaikan gaji dan pangkat.

Setiap bulan kita perlu simpan sebanyak yang mampu. Simpanan ini nanti boleh digunakan untuk pelan jangka masa panjang seperti nak beli rumah dan pelaburan.

Langkah Kedua Dalam Asas Pengurusan Kewangan Adalah Perlindungan

Bagaimana nak lindungi harta daripada situasi yang tak dijangka? Jawapannya adalah takaful. Takaful ada beberapa jenis, di antaranya adalah kad perubatan dan takaful nyawa.

Sekiranya kita terlibat dalam kemalangan atau ditimpa penyakit berbahaya, sudah pasti kos perubatan akan mengurangkan simpanan anda. Namun, ini dapat dielakkan sekiranya anda mempunyai pelan takaful medical card yang boleh digunakan untuk membayar kos perubatan anda.

Takaful nyawa pula berfungsi sebagai hibah atau peninggalan untuk isteri dan keluarga apabilia kita meninggal dunia. Wang tuntutan takaful boleh digunakan untuk melangsaikan segala hutang rumah dan kereta serta untuk keperluan hidup ahli keluarga yang ditinggalkan.

Kalau ada yang masih tertanya-tanya perbezaan di antara takaful dan insurans, jemput baca Perbezaan Takaful Dan Insurans.

Ramai yang sering terlepas pandang tentang perlindungan ini. Mereka tidak mengambil berat kepentingan untuk mengambil takaful. Logiknya mudah, sekiranya kita ditimpa kemalangan, hilang upaya atau cacat kekal sudah pasti kewangan anda akan terjejas sekiranya tiada perlindungan.

Langkah Ketiga Dalam Asas Pengurusan Kewangan Adalah Pelaburan

Modal pelaburan mestilah daripada simpanan yang tidak digunakan dalam jangka masa yang terdekat. Banyak instrumen pelaburan yang boleh beri keuntungan yang agak baik, terpulang kepada tahap toleransi risiko kita.

Sesuai dengan konsep ‘High risk high return’. Kalau kita inginkan potensi keuntungan yang tinggi, kena bersedia untuk berdepan dengan pelaburan tersebut mengalami kerugian.

Tak ada cash yang cukup untuk pelaburan? Boleh juga mula melabur melalui pengeluaran KWSP. Wang daripada akaun KWSP boleh digunakan untuk melabur di dalam pelaburan amanah saham yang dibenarkan sahaja.

Boleh rujuk i-Invest KWSP – Ahli Sudah Boleh Beli Sendiri Unit Trust Dengan Kos Yang Lebih Rendah. Namun begitu, pelaburan melalui KWSP bergantung kepada baki caruman.

Potensi pulangan melebihi kebiasaan dividen yang diberi oleh KWSP sendiri. Dengan cara ini, dana persaraan kita akan bertambah dengan lebih cepat. Pelaburan ini melibatkan untung dan rugi.

Mantapkan dulu ilmu pelaburan sebelum nak mula melabur ke dalam mana-mana instrumen pelaburan. Kalau tak pasti, sila dapatkan khidmat nasihat dari perancang kewangan yang berlesen.

Artikel ini ditulis oleh Mohd Arif Irfan, seorang juruaudit di salah sebuah firma audit di Malaysia. Beliau telah lulus kesemua kertas peperiksaan ACCA dan sedang mengutip pengalaman untuk menjadi akauntan bertauliah. Meminati bidang hartanah dan pelaburan serta rajin berkongsi ilmu di FB Arif Irfan.



Source link