Uncategorized

Balik Pulau destinasi pelancongan baharu di P. Pinang – Muhammad Bakhtiar


BALIK PULAU: Landskap, bentuk muka bumi dan keunikan yang ada di Balik Pulau menjadikannya sebagai salah satu khazanah tersembunyi negara.

Menerusi program ‘Let’s Rock Balik Pulau’ sempena Festival Balik Pulau 2019, pengunjung berpeluang meneroka keindahan dan keunikan yang ditawarkan oleh alam semula jadi yang terdapat di Balik Pulau dengan berbasikal, menaiki bot dan merentasi hutan.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik hari ini berkata program itu adalah antara usaha untuk memperkenalkan keunikan Balik Pulau kepada dunia sebagai destinasi pelancongan.

“Berbasikal dan mendaki adalah cara terbaik untuk menerokai Balik Pulau. Anda akan dapat melihat keindahan Balik Pulau. Kehijauan, lanskap, udara segar adalah khazanah di sini selain penduduknya yang mesra,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program itu, di sini hari ini.

Muhammad Bakhtiar (bertopi) memerhatikan mural yang dihasilkan pada dinding Flat Lily semasa melawat mural-mural yang dihasilkan oleh pelukis tempatan di kawasan Balik Pulau. - Bernama

Program ‘Let’s Rock Balik Pulau’ yang bermula pada pukul 10 pagi merangkumi acara berbasikal sepanjang 11 kilometer di sekitar Balik Pulau, mengembara ke kawasan hutan paya bakau dengan menaiki bot dan aktiviti merentas hutan di Taman Negara Teluk Bahang.

Muhammad Bakhtiar berkata menerusi aktiviti mengembara ke hutan paya bakau dan rentas hutan, pengunjung memperolehi pengetahuan baharu yang dikongsikan oleh pemandu pelancong mengenai ekosistem yang hidup di kawasan tersebut.

Selain itu, katanya sebagai Ahli Parlimen kawasan itu, beliau komited untuk memelihara dan memulihara hutan paya bakau serta memerangi penggunaan dan pembuangan sisa plastik yang telah mencemarkan alam sekitar.

Difahamkan Balik Pulau merupakan destinasi utama pemuliharaan dan pemeliharaan pokok paya bakau yang menjadi destinasi berlindung kepada lebih kurang 200 spesis burung, yang mampu mencecah sehingga 300 ke 400 spesis ketika musim migrasi.

Festival Balik Pulau 2019 yang julung kali diadakan berlangsung selama tiga hari bermula semalam, menawarkan pelbagai program antaranya acara larian, kayuhan basikal, persembahan orkestra tradisional dan persembahan daripada artis-artis jemputan.

— BERNAMA





Source link