Artikel Terkini

Basuh Dahulu Telur Sebelum Disimpan, Perlu Ke?


Baru-baru ini ada terdapat di media sosial tentang seorang pengguna yang berkongsi cara mencuci telur sebelum ia disimpan kedalam peti sejuk. Menurutnya, tujuan mencuci dahulu telur yang dibeli itu adalah untuk menghapuskan kuman yang mungkin boleh menjangkiti. Bekas telur juga disarankan untuk dilupuskan terus agar kesihatan isi rumah tidak berada dalam risiko.

Maka pelbagai reaksi yang diterima, ada yang bersetuju dan ada juga yang membantah tindakan tersebut.

Jadi, perlu atau tidak kita mencuci telur sebelum disimpan? Mari ikuti penjelasan ahli kimia, Dr Fatimah Salim berkaitan perkara ini.

PERLU ATAU TIDAK BASUH TELUR SEBELUM PENYIMPANAN?

Sebenarnya telur secara semulajadi memiliki selaput perlindungan yang dipanggil “bloom” atau “cuticle” yang terbentuk daripada cecair faraj ayam semasa bertelur. Tujuan lapisan ini ialah untuk melindungi isi telur daripada dicemari. Kulit telur sebenarnya mempunyai liang-liang halus di seluruh permukaan yang telap kepada kuman dan bahan kimia meruap (aka gas) dari persekitaran. Sebab itu telur boleh berbau bawang (dari bahan kimia bersulfur) jika diletakkan bersama dengan bawang. Selain daripada itu, selaput ini juga bertindak dalam mengekalkan kelembapan dalam telur dengan cara mencegah air meruap keluar melalui kulit telur. Inilah sebab kepada pendapat yang tidak menggalakkan telur dibasuh sebelum disimpan.

Pun begitu, terdapat peraturan dalam USDA yang mengharuskan pencucian setiap telur yang dijual secara komersial. Ini kerana kulit telur yang mengandungi najis boleh tercemar dengan kuman seperti Salmonella. Sekiranya telur ini disimpan dalam peti sejuk tanpa dicuci, ianya boleh menyebabkan pencemaran silang berlaku (kuman boleh berpindah) kepada makanan lain yang disimpan, terutamanya makanan sedia makan. Kuman ini akan menghasilkan bahan kimia toksik yang boleh menyebabkan keracunan makanan.
Malangnya proses mencuci ini akan membuang bersama selaput perlindungan semulajadi tadi. Maka peranan ini digantikan dengan selaput buatan (biasanya mengandungi mineral berminyak) yang boleh dimakan pada permukaan telur.

Namun peraturan mencuci telur ini tidak digunapakai di Malaysia. Maka, telur yang kita beli masih lagi mempunyai lapisan perlindungan semulajadi. Sekiranya telur tidak disimpan dalam peti sejuk, telur tidak perlu dibasuh namun haruslah disimpan di dalam kartonnya. Selain daripada fungsi sokongan, menyimpan telur dalam kartonnya dapat melindungi telur daripada tekanan (aka pecah) serta mengekalkan kesegaran telur sehingga 45 hari daripada tarikh pembungkusan.

Sekiranya telur ingin disimpan dalam peti sejuk dan kulit telur tidak mengandungi najis, maka tidak perlu di basuh. Cuma boleh mengambil langkah berhati-hati dengan menyimpan telur dalam bekas tertutup untuk mengelakkan pencemaran silang.

Ketahuilah tujuan penyimpanan telur dalam peti sejuk ialah untuk
1) menghalang aktiviti kuman di mana suhu sejuk hanya menyahaktifkan kuman (kuman tidak mati),
2) memanjangkan jangka hayat telur melebihi tempoh 45 hari tadi, serta
3) menghalang bahan-bahan kimia meruap (aka gas) daripada persekitaran masuk ke dalam telur.

KESIMPULANNYA, pilihan sama ada membasuh telur atau tidak bergantung kepada cara penyimpanan telur itu. Sekiranya kulit telur mengandungi najis dan ingin disimpan di dalam peti sejuk, maka eloklah dibasuh untuk menghalang mencemaran silang. Namun sekiranya telur ditinggalkan di dalam kartonnya, maka eloklah tidak dibasuh untuk meningkatkan jangka hayat kesegaran telur. Apa-apa pun, telur haruslah dibasuh sebelum di masak.

*Semoga bermanfaat *
ChM Dr Fatimah Salim
Ahli Kimia



Source link