Artikel Terkini

Benarkah Harta Pusaka Wanita Yang Tidak Berkahwin Dan Mempunyai Anak Akan Diberikan Kepada Baitulmal?


Rupanya masih terdapat salah faham dalam kalangan masyarakat Islam sendiri tentang pengurusan harta pusaka Islam. Bahkan baru-baru ini kita melihat seorang peguam wanita Muslim seoalah-olah mempersendakan hukum perwarisan dalam Islam dengan mengatakan bahawa hukum tersebut sudah tidak relevan lagi.

Asbabnya, beliau mengatakan, hukum perwarisan Islam tidak adil kepada wanita kerana sebahagian besar harta pusaka bagi wanita yang tidak berkahwin dan tidak mempunyai anak, akan pergi kepada Baitulmal.

Adakah benar dakwaan sebegini?

Sebelum menjawab persoalan ini, kita fahami dulu apakah yang dimaksudkan dengan Baitulmal dan bagaimana harta pusaka boleh sampai kepada Baitulmal.

Secara ringkasnya, Baitulmal adalah satu bentuk institusi kewangan harta dalam Islam. Ia terdiri dari pelbagai sumber hasil seperti zakat, harta wakaf, cukai-cukai (kharaj) dan lain-lain sumber yang pengumpulan dan penggunaannya untuk kepentingan masyarakat dan negara.

Dalam pentadbiran pusaka harta peninggalan si mati akan menjadi hak Baitulmal dalam beberapa bentuk keadaan.

1. Sekiranya si mati langsung tidak mempunyai waris yang berhak mewarisi harta pusaka mengikut hukum faraid. Maka semua harta si mati dikembalikan kepada Baitulmal.

Tetapi perlu difahami juga apakah yang dimaksudkan dengan waris yang berhak mewarisi pusaka. Ini yang ramai salah faham. Waris yang berhak bukan sekadar suami isteri dan anak-anak sahaja.

Jika waris lelaki yang berhak, selain suami dan anak lelaki, termasuk yang berhak juga adalah, bapa, atuk dan ke atas, cucu lelaki dari anak lelaki dan ke bawah, adik beradik lelaki seibu sebapa, adik beradik lelaki sebapa, anak saudara daripada adik beradi lelaki dan beberapa lagi contoh lain.

Manakala bagi waris perempuan yang berhak pula, selain isteri dan anak lelaki, waris yang berhak menerima harta pusaka juga adalah mak, nenek dan ke atas, cucu perempuan dari anak lelaki dan seterusnya.

Jadi dari sini kita faham, sebenarnya banyak waris yang berhak menerima harta pusaka sekiranya berlaku kematian.

2. Sekiranya si mati HANYA meninggalkan waris dzawil arham, maka kesemua harta pusaka itu diserahkan kepada Baitulmal.

Apakah yang dimaksudkan dengan dzawil arham?

Dari sudut Bahasa, dzawil arham berasal daripada perkataan Zu al Arham. Yang membawa maksud pertalian hubungan kekeluargaan yang terjalin daripada satu Rahim yang sama asalnya. Dengan kata lain, dzawil arham adalah ahli keluarga dan kerabat yang mempunyai pertalian darah dengan kita.

Siapakah yang dimaksudkan dengan waris dzawil arham? Mereka adalah waris si mati tetapi tidak mempunyai hak menerima harta pusaka si mati (menurut Mazhab Syafie dan Maliki).

Antara contoh waris dzawil arham adalah cucu daripada anak perempuan, anak saudara daripada adik beradik perempuan si mati, anak saudara (perempuan) daripada adik beradik lelaki, bapa dan mak saudara sebelah ibu dan beberapa contoh lain.

Mereka ini hakikatnya mempunyai pertalian darah dengan si mati, tetapi tidak mempunyai hak perwarisan harta pusaka si mati.

Sebagai contoh, si mati semasa hayatnya mempunyai seorang anak perempuan tetapi anak itu telah mati dahulu daripadanya. Anak perempuan itu ada meninggalkan beberapa orang anak (cucu si mati).

Mengikut hukum faraid mazhab Syafi’e, mereka tidak mewarisi. Oleh kerana waris lain tidak ada,  kesemua harta pusaka diserahkan kepada Baitulmal.

Walaubagiamanpun, mengikut pendapat Mazhab Hambali dan Hanafi, waris dzawil arham berhak menerima harta pusaka si mati sekiranya tiada waris berhak yang lain.

3. Sekiranya si mati meninggalkan waris yang berhak menerima pusaka, namun mereka hanya mewarisi sebahagian sahaja daripada harta pusaka itu. Maka bakinya diserahkan kepada Baitulmal.

Sebagai contoh si mati hanya meninggalkan suami dan tiga orang anak perempuan. Suami layak mewarisi 1/4 bahagian manakala tiga orang anak perempuan pula diperuntukkan sebanyak 2/3 bahagian. Selepas pengiraan, ternyata berbaki sebanyak 1/12 bahagian.

Baki ini diserahkan kepada Baitulmal.

Begitu juga dengan keadaan apabila si mati meninggalkan suami dan ibu. Lain-lain waris tidak ada. Suami mewarisi secara fardu sebanyak 1/2 bahagian manakala ibu si mati juga mewarisi secara fardu sebanyak 1/3 bahagian.

Bakinya sebanyak 1/6 bahagian diserahkan kepada Baitulmal.

Kesimpulannya, dakwaan harta pusaka wanita yang tidak berkahwin dan mempunyai anak akan terus pergi kepada BaitulMal adalah satu dakwaan yang tidak tepat sama sekali.

Kita perlu jelas susur galur keluarga dan waris si mati sebelum menentukan kepada siapa perginya harta pusaka tersebut.

Ditulis oleh Fakhrur Radzi, konsultan di sebuah firma runding perancangan harta dan urus pusaka.

Iklan


Iklan



Source link