Artikel Terkini

Berlumba Untuk Bersara Awal, Ramai Yang Dah Join ‘FIRE Movement’


Pernah tak kita fikirkan tentang persaraan? Tak ramai orang muda yang dah fikir pasal persaraan. Mereka rasa muda lagi dan banyak masa sebelum sampai umur persaraan samada 60 atau 65 tahun.

Ramai anak muda yang bila gaji masuk dah fikir nak beli apa. Lebih malang bila ada yang membelanjakan duit yang mereka belum ada dengan membuat pinjaman peribadi dan swipe kad kredit untuk berbelanja.

Persaraan bukan berkenaan umur, tetapi keadaan kewangan. Kalau keadaan kewangan kita cukup untuk tak bergantung kepada gaji kerja untuk kehidupan seharian, maka kita dah ada pilihan untuk berhenti kerja dan bersara.

Lebih menyukarkan keadaan kalau kita dah capai umur persaraan pada usia 65 tahun tetapi belum ada keadaan kewangan yang mencukupi untuk kehidupan seharian. Pasti kita terpaksa untuk terus bekerja demi untuk menyara kehidupan kita.

FIRE (Financial Independence, Retire Early)

FIRE movement adalah gerakan cara hidup dengan 2 matlamat besar iaitu untuk ada kebebasan kewangan dan bersara awal. Apabila kita telah mencapai kebebasan kewangan, kita mempunyai pilihan untuk tidak lagi bekerja dan gunakan wang yang kita ada untuk menjana lebih banyak wang melalui pelaburan.

Ada sesetengah anak muda yang mempunyai visi dan misi luar biasa dengan berazam untuk bersara seawal umur 30 hingga 40 tahun. Adakah matlamat persaraan pada umur yang muda realistik dan boleh dicapai?

Macam mana nak capai FIRE?

1. Simpan Sebanyak Mungkin

Tetapkan matlamat untuk simpan sebanyak yang mungkin ke dalam dana persaraan. Lebih banyak kita menyimpan, lebih cepat untuk capai kebebasan kewangan dan bersara awal. Simpanan secara agresif sehingga 50%-75% daripada gaji membolehkan wang kita dikumpulkan dan digunakan untuk menjana pendapatan pasif.

Simpanan secara agresif boleh dilakukan dengan meningkatkan pendapatan dan mengurangkan perbelanjaan. Carilah pendapatan sampingan pada hujung minggu dan amalkan perbelanjaan berhemah agar lebih banyak simpanan boleh diasingkan.

Baca juga Kakeibo – Teknik Simpan Wang Gaya Jepun Yang Ramai Tak Tahu

2. Pelaburan Untuk Jana Pendapatan Pasif

Gunakan simpanan yang ada untuk menjana pendapatan pasif. Pelaburan seperti saham, hartanah mahu pun unit trust mampu menjana pendapatan pasif tanpa perlu bekerja. Dividen atau agihan pendapatan yang kita dapat boleh dilaburkan semula.

Namun begitu, semua pelaburan memerlukan modal yang besar untuk mendapatkan hasil yang mencukupi. Justeru, penting untuk kita lakukan langkah simpanan terlebih dahulu.

Kita akan capai kebebasan kewangan sekiranya pendapatan pasif telah mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian. Sekiranya kita ada sejumlah RM1 juta dan dilaburkan ke dalam unit trust untuk dapatkan pendapatan pasif sebanyak 8% setahun, agihan pendapatan yang ada cukup untuk menampung perbelanjaan sebanyak RM6,600 sebulan.

Baca juga Ini 15 Panduan Beginner Perlu Tahu Tentang Pelaburan Saham di Bursa Malaysia

FIRE Movement Bukan Untuk Semua

Perjalanan hidup seseorang sangat berbeza di antara satu sama lain. Ada yang dikurniakan rezeki berganda dan ada yang hidup sederhana. Ada yang mempunyai komitmen rendah dan ada juga tidak dapat elak daripada komitmen yang tinggi.

Tidak ramai yang mampu untuk menyimpan 50%-75% daripada gaji mereka untuk dana persaraan. Bahkan ada yang terpaksa berhempas pulas setiap hari untuk mencari rezeki yang halal.

Walau apapun keadaan kewangan yang kita hadapi, FIRE movement mengajar kita untuk buat perancangan awal dan berusaha keras untuk dana persaraan kita. Simpan dan laburkan wang yang kita ada untuk dana persaraan nanti.

Artikel ini ditulis oleh Mohd Arif Irfan, seorang juruaudit di salah sebuah firma audit di Malaysia. Beliau telah lulus kesemua kertas peperiksaan ACCA dan sedang mengutip pengalaman untuk menjadi akauntan bertauliah. Meminati bidang hartanah dan pelaburan serta rajin berkongsi ilmu di FB Arif Irfan.

Iklan


Iklan



Source link