Artikel Terkini

7 Topik Kewangan Yang Perlu Kita Bincang Dengan Pasangan

7 Topik Kewangan Yang Perlu Kita Bincang Dengan Pasangan 1

7 Topik Kewangan Yang Perlu Kita Bincang Dengan Pasangan 2

Viral drama bersiri Korea yang bertajuk ‘The World Of The Married’.

Ada beberapa episod dalam drama tersebut yang menunjukkan kepincangan kewangan dalam sesebuah keluarga. Di antaranya menggunakan kredit kad membeli barang yang tiada kena mengena dengan kegunaan keluarga, membuat pengeluaran dari insurans anak dan membuat pinjaman dengan menggunakan nama pasangan sebagai penjamin tanpa berbincang terlebih dahulu.

Ambil pengajaran daripada drama tersebut.

Berikut merupakan 7 topik kewangan yang perlu kita bincang dengan pasangan masing-masing:

1. Kesalahan Pengurusan Kewangan Yang Lalu

Berterus-terang dengan pasangan tentang kesilapan kewangan kita yang lalu, di mana ianya akan memudahkan pasangan untuk tahu segala risiko apabila terjadinya perkara tidak diingini berlaku. Lebih-lebih lagi apabila sudah menjadi pasangan hidup.

Ada hutang PTPTN ke, ada orang menggunakan nama kita untuk buat hutang ke, kita sebagai penjamin kepada sesiapa ke, hutang kad kredit, hutang dengan bank, hutang dengan orang lain dan sebagainya.

Lagi haru kalau kita ada buat hutang dengan Ah Long, tak aman hidup sekeluarga nanti.

2. Status Kewangan Terkini

Selepas bertunang atau berkahwin, mulakan langkah dengan bercerita hal kewangan secara serius. Ini kerana ia bakal memberi kesan kepada keluarga.

Ketika ini boleh rancang beberapa perkara seperti pembelian rumah, kenderaan, aset lain, percutian, perbelanjaan harian, barangan dalam rumah, bil dan lain-lain. Daripada sini kita dapat bersama-sama bina kekayaan dan tingkatkan Net Worth diri masing-masing.

Mungkin ada yang pro hartanah, pasangan pula pro saham. Jadi kita perlu sokong minat dan kemahiran masing-masing.

3. Matlamat Kewangan Bersama Untuk Masa Depan

Bincang matlamat jangka masa pendek dan juga jangka masa panjang. Ini termasuklah simpanan, perbelanjaan, persaraan, pelaburan, takaful, hibah dan juga penjagaan kesihatan.

Ini adalah masa terbaik untuk berbincang mengenai cahaya mata dan pengurusan kewangan berkaitan penjagaan harian anak dan juga pendidikan.

Ibu bapa kini kedua-duanya perlu bekerja untuk masa depan diri dan keluarga, jadi ramai yang perlukan khidmat orang ketiga seperti orang gaji atau ‘daycare’ bagi menjaga makan minum dan keselamatan anak sementara ibu bapa bekerja.

Selain daripada itu juga, perlu berbincang dengan pasangan sekiranya ada ahli keluarga yang memerlukan bantuan kewangan mahu pun tempat tinggal.

Tidak semua akan bersetuju kerana ianya melibatkan privasi dan serba sedikit menggangu keharmonian ahli keluarga kita. Seeloknya kita bersedia dengan slogan “kita jaga kita”. Dapat juga pahala.

4. Akaun Bank, Bersama atau Asing

Buat keputusan bagaimana ingin hidup bersama dalam menempuh hal kewangan. Cara tradisional adalah menggabungkan kedua pendapatan agar ianya masuk dalam satu akaun.

Bagi saya cara ini tidak begitu relevan untuk yang masing-masing ada pendapatan sendiri. Boleh juga masing-masing mempunyai satu akaun bank berasingan di mana gaji bulanan masuk di situ dan satu akaun bank bersama untuk perbelanjaan harian, percutian dan pendidikan anak-anak.

Apa jua cara yang dilakukan, perlu diingat bahawa akaun yang berasingan bukan bertujuan untuk kita menyembunyikan sesuatu, sebaliknya untuk hal-hal yang tidak terjangka pada masa hadapan.

5. Buat Bajet Kewangan

Tentukan bajet dalam segala perkara yang ingin dibeli atau dibelanjakan. Boleh adakan meeting bersama pasangan secara bulanan. Simpan semua resit perbelanjaan bulanan terutama apa yang dibeli untuk keperluan rumah.

Pada asasnya makan, minum, bil, tempat tinggal, yuran persekolahan adalah amanah ketua keluarga. Mungkin isteri boleh ambil alih perbelanjaan barangan lain seperti perabot, renovasi dan dekorasi, takaful, pelaburan, pakaian, perbelanjaan tambahan untuk anak seperti buku dan lain-lain.

Ini perlu dibuat sejak hari pertama selepas berkahwin.

Bajet adalah merupakan satu ‘tool’ yang hebat sebab ia bakal menentukan halatuju kita dalam mencapai matlamat kewangan keluarga.

6. Tentukan Siapa Yang Mengurus Dan Membayar

Tentukan siapa yang akan jadi ketua dalam membayar segala bil, yang akan membuat bajet jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Cara yang terbaik adalah bergilir-gilir agar keduanya ambil tahu.

Ada juga suami yang biasanya lebih dominan cuba conquer seorang diri. Masalah terjadi apabila tiba-tiba si suami meninggal dunia, terkontang-kanting isteri untuk menyelesaikan satu per satu sehingga dokumen yang diletak pun isteri tidak tahu di mana.

Apa kata bagi salah seorang pasangan yang susun segala bil berbayar seperti bil elektrik, bil air, cukai pintu, bil internet dan sebagainya ke dalam sebuah fail, seorang lagi bayarkan.

Apabila terjadi sebarang kemungkinan, mudah cerita.

7. Komunikasi

Komunikasi di antara pasangan adalah sangat penting. Kita takdelah perlu mengadakan mesyuarat tergempar macam ingin berjumpa dengan bos untuk membentangkan bajet.

Kita bersama orang yang kita sayang, jadi beritahu saja apa yang kita beli, inginkan apa yang tak cukup yang boleh diusahakan bersama. Isu kewangan adalah isu yang perlu sama-sama kita atasi dan kuasai.

Akhir kata, kepercayaan adalah asas paling penting dalam perhubungan.

Pengurusan kewangan amat diperlukan untuk menjayakan sesuatu hubungan dan istitusi kekeluargaan, oleh itu pastikan kita berbincang dengan pasangan untuk mencapai kata sepakat.

Artikel ditulis oleh Puan Sarah Hata. Penulis merupakan seorang konsultan kewangan di sebuah institusi kewangan di Malaysia dan juga perunding imej. Mempunyai pengalaman menulis, memberi ceramah di beberapa syarikat seluruh Malaysia dan juga klien individu

Sumber Rujukan:

7 Topik Kewangan Yang Perlu Kita Bincang Dengan Pasangan 3
7 Topik Kewangan Yang Perlu Kita Bincang Dengan Pasangan 4

7 Topik Kewangan Yang Perlu Kita Bincang Dengan Pasangan 2

Source link