Artikel Terkini

Aplikasi Tawarruq Dalam Deposit Bertempoh Patuh Shariah

Aplikasi Tawarruq Dalam Deposit Bertempoh Patuh Shariah 1

Aplikasi Tawarruq Dalam Deposit Bertempoh Patuh Shariah 2

Baru-baru ini dapat pertanyaan dari seorang sahabat, lebih kurang begini soalannya: “Bagaimanakah deposit bertempoh boleh patuh shariah dengan pulangan yang terjamin, sedangkan dalam Islam keuntungan pelaburan adalah tidak dijamin?”

Jawapan saya mudah iaitu ianya bersandarkan kontrak tawarruq (kos + keuntungan). Masalahnya, ramai di kalangan kita yang kurang jelas berkenaan dengan kontrak yang digunakan dalam Perbankan Islam.

Saya sendiri sebelum melanjutkan pengajian dalam Bidang Perbankan Islam tidak begitu faham apakah perbezaan di antara Produk Konvensional dan Produk Perbankan Islam. Apa yang biasanya kita faham adalah Perbankan Islam perlu lebih murah berbanding Perbankan Konvensional.

Untuk makluman, pada permulaan pengenalan Perbankan Islam di Malaysia, kebanyakan kontrak yang digunakan adalah ‘Bay Inah’ iaitu urusniaga jual dan beli secara tunai dan menjualnya semula pada harga tangguh dengan harga yang lebih tinggi.

Namun disebabkan beberapa kontroversi berkenaan kontrak Bay Inah (salah satunya kerana ia hanya melibatkan 2 pihak), kontrak Tawarruq diperkenalkan sebagai alternatif bagi proses penambahbaikan.

Kembali semula kepada soalan sahabat saya berkenaan deposit bertempoh, ianya adalah di mana pendeposit akan mendepositkan sejumlah wang ke dalam akaun bank dan dijanjikan dengan kadar keuntungan yang telah dipersetujui dalam tempoh tertentu.

Sebagai contoh, Aqil mendepositkan RM100 dan dijanjikan keuntungan sebanyak 10% dalam tempoh 6 bulan. Selepas 6 bulan, Aqil boleh mengeluarkan wang tersebut iaitu sebanyak RM110.

Perbezaan ketara di antara Bay Inah dan Tawarruq adalah Bay Inah melibatkan 2 pihak iaitu bank dan pelanggan manakala Tawarruq melibatkan 4 pihak iaitu bank, pelanggan, peniaga komoditi 1, dan peniaga komoditi 2.

Untuk kita lebih faham, boleh lihat modus operandi kontrak tawarruq dalam deposit bertempoh seperti berikut :

1. Pihak pelanggan mendepositkan sejumlah wang dan melantik pihak bank sebagai wakil untuk membeli komoditi

2. Wang akan digunakan oleh pihak bank untuk membeli komoditi dari peniaga komoditi 1

3. Setelah pemilikan menjadi milik pelanggan, pelanggan menjual pula komoditi tersebut kepada pihak bank pada harga tangguh di mana pihak bank perlu membayar semula harga jualan dalam tempoh 6 bulan beserta keuntungan yang telah ditetapkan

4. Dalam masa yang sama, pihak bank akan menjual komoditi pada harga yang sesuai di pasaran kepada peniaga komoditi 2 selaku pembeli komoditi bagi mendapatkan hasil untuk membayar semula kepada pelanggan.

Untuk makluman, urusniaga komoditi akan dibuat melalui platform Bursa Suq al-Sila (BSAS). BSAS bertanggungjawab memastikan komoditi yang diniagakan hanya yang patuh shariah.

Selain daripada itu, BSAS akan memastikan tiada pertindihan pemilikan komoditi kerana isu pemilikan adalah rukun dalam jual beli.

Pihak bank juga boleh membuat audit ke tempat pembekal komoditi bagi memastikan urusniaga yang dijalankan mematuhi standard operasi shariah.

Sekarang dah tahu apa itu kontrak tawarruq yang digunakan di dalam deposit bertempoh patuh shariah?

Ditulis oleh Azharul Adha Bin Dzulkarnain
Berkelulusan Sarjana Kewangan dan Perbankan Islam
Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Aplikasi Tawarruq Dalam Deposit Bertempoh Patuh Shariah 3
Aplikasi Tawarruq Dalam Deposit Bertempoh Patuh Shariah 4

Aplikasi Tawarruq Dalam Deposit Bertempoh Patuh Shariah 2

Source link