Uncategorized

Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi



KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi hari ini selepas mencatat penurunan pada Selasa, didorong oleh perkembangan perang dagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang reda sedikit susulan penangguhan tarif tambahan baharu ke atas barangan import China.

Pada 9.05 pagi ini, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 6.58 mata kepada 1,599.46, selepas dibuka 5.48 mata lebih tinggi kepada 1,598.36.

Di pasaran lebih meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 258 berbanding 57 manakala 103 kaunter tidak berubah, 1,488 tidak didagangkan dan 18 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 145.42 juta unit bernilai RM50.51 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya berkata pasaran dibuka dengan nada lebih positif dan dijangka disusuli pemulihan pasaran hari ini selepas mencatat penurunan 22.17 mata, semalam.

“Kami menjangkakan saham-saham berharga rendah dan di pasaran lebih meluas akan mencatat peningkatan semula dalam masa terdekat ini berikutan aktiviti belian saham yang mungkin kembali apabila sentimen pasaran menjadi lebih positif ketika ini,” katanya.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata aktiviti belian itu mungkin dijejaskan oleh tindakan pengambilan untung ketika sebahagian besar penggiat pasaran masih dalam sentimen berhati-hati.

Semalam, pentadbiran Presiden Donald Trump mengejutkan pemerhati pasaran apabila bertindak menangguhkan tindakan mengenakan tarif baharu ke atas produk China bernilai kira-kira AS$156 bilion yang sepatutnya berkuat kuasa pada 1 September ini.

AS memberi alasan langkah itu diambil susulan kebimbangan mengenai impak ketegangan dagangan tersebut yang boleh menjejaskan perniagaan dan pengguna menjelang musim perayaan.

Di peringkat tempatan, pelabur menunggu pengumuman KDNK bagi suku kedua tahun ini yang akan diumumkan pada Jumaat ini.

Selain itu, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank untung tiga sen kepada RM8.59, Public Bank naik 12 sen kepada RM20.86, Tenaga Nasional menokok 14 sen kepada RM13.74, Petronas Chemical menambah sembilan sen, IHH meningkat empat sen kepada RM5.70 manakala CIMB meraih lima sen kepada RM5.05.

Bagi saham paling aktif, KNM dan warannya menokok setengah sen masing-masing kepada 39 sen dan 20 sen, Datasonic dan warannya naik dua sen kepada 85.5 sen dan 40 sen manakala Berjaya Land untung satu sen kepada 19.5 sen.

FBM Ace menokok 27.91 mata kepada 4,641.59, FBM 70 menambah 81.79 mata kepada 14,244.62, Indeks FBM Emas meraih 52.98 mata kepada 11,343.39, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 54.56 mata kepada 11,850.79 dan Indeks FBMT 100 naik 50.31 mata kepada 11,178.59.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 60.59 mata kepada 16,670.46, Indeks Perladangan sebaliknya merosot 7.44 mata kepada 6,684.22 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 0.52 mata kepada 151.20.

— BERNAMA





Source link

Related Posts