Artikel Terkini

Dividen KWSP: Cukup Atau Tidak?


Menurut artikel yang dikeluarkan oleh The Edge, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memerlukan keuntungan RM50 billion untuk membayar dividen sebanyak 6% pada tahun 2019.

Cabaran getir yang kini dihadapi oleh KWSP ialah saiz dana caruman dari pekerja yang semakin besar dan diunjurkan mencecah RM1 trillion pada tahun 2021. Dana caruman terkumpul KWSP ialah RM864.7 billion pada akhir Oktober 2019 dan bertambah menjadi RM924.75 billion berdasarkan data terkini yang dikeluarkan.

Selain daripada itu, prestasi pasaran saham Malaysia juga tidak menunjukkan prestasi yang memberangsangkan. FBM KLCI telah mencatatkan penurunan sebanyak 6 peratus sepanjang tahun. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada suku akhir 2019 juga menunjukkan prestasi ekonomi yang mencatatkan penurunan.

Situasi yang hampir sama ketika dividen ASB diumumkan. Saiz dana ASB semakin besar saban tahun, menjadikan pengurus dana sukar untuk mendapatkan keuntungan yang mencukupi untuk memberikan dividen yang banyak.

Berdasarkan pengumuman pada 22 Februari 2020, KWSP telah mengumumkan dividen simpanan konvensional sebanyak 5.45% manakala dividen simpanan shariah sebanyak 5%. Dividen 2019 ini lebih rendah berbanding tahun 2018.

Jom kita tengok dua alternatif yang kita ada.

1. Private Retirement Scheme (PRS)

Private retirement scheme adalah pelaburan jangka panjang yang dicarum secara sukarela untuk sesiapa yang ingin menambah simpanan persaraan.

Ciri-ciri PRS hampir sama dengan KWSP, bermakna pelaburan kita tidak boleh dikeluarkan sehingga umur persaraan. PRS diuruskan oleh institusi kewangan swasta yang berlesen dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Namun begitu, PRS tiada jaminan modal berbanding KWSP yang diuruskan oleh kerajaan.

Di samping itu, pelaburan di dalam PRS akan diberikan pengecualian cukai pendapatan sehingga RM3,000 setahun. Kita boleh mencarum ke dalam PRS dengan jumlah yang kita tetapkan sendiri.

2. EPF – Members Investment Scheme (EPF-MIS)

EPF-MIS adalah sebuah skim yang membenarkan pencarum KWSP untuk melabur sebahagian daripada caruman mereka ke dalam unit trust. Ada banyak dana pelaburan unit trust yang mampu memberikan pulangan yang menarik dan kompetitif.

Disebabkan oleh saiz dana KWSP yang dikatakan sudah terlalu besar, adalah lebih baik jika kita melabur caruman ke dalam unit trust supaya dana kita diuruskan oleh syarikat swasta dengan track record yang baik.

Selain daripada itu, ada pelbagai pilihan dana unit trust yang boleh dilaburkan. Setakat ini, lebih kurang 300+ dana unit trust yang telah diluluskan oleh KWSP merangkumi pelbagai kategori pelaburan seperti ekuiti, mixed asset dan money market. Ada yang melabur di dalam luar negara, ada juga yang melabur ke seluruh dunia.

Dana yang diambil dari KWSP tidak boleh ditukar menjadi wang tunai kerana sekiranya pencarum berhajat untuk menebus kembali pelaburan dalam unit trust, dana itu akan disalurkan kembali ke dalam KWSP.

Sekiranya kita rasa dividen yang diumumkan sebanyak 5% tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan selepas persaraan, kita boleh memilih alternatif lain untuk meningkatkan dana persaraan melalui PRS ataupun EPF-MIS.

Kedua-dua pelaburan ini boleh dilakukan sendiri dengan kos yang sangat minimum. Namun sekiranya kita tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi berkenaan pelaburan, terutama sekali dalam memilih dana yang mampu memberi pulangan yang lebih daripada dividen KWSP; kita disarankan untuk mendapatkan nasihat dari penasihat kewangan yang berlesen.

Selain daripada memberi khidmat nasihat berkenaan pelaburan, penasihat kewangan yang berlesen juga mempunyai kepakaran dalam perancangan persaraan.

Sumber Rujukan:

Artikel ini ditulis oleh Mohd Arif Irfan, seorang juruaudit
di salah sebuah firma audit di Malaysia. Beliau telah lulus kesemua kertas
peperiksaan ACCA dan sedang mengutip pengalaman untuk menjadi akauntan
bertauliah. Meminati bidang hartanah dan pelaburan serta rajin berkongsi ilmu
di FB Arif
Irfan
.



Source link