Artikel Terkini

Generasi muda dijangka tinggalkan pekerjaan, lebih berminat dalam keusahawanan – Randstad



KUALA LUMPUR: Sebanyak 49 peratus pekerja di Malaysia dijangka meninggalkan pekerjaan mereka untuk memulakan perniagaan sendiri, demikian menurut kajian terkini Workmonitor suku pertama 2020 oleh Randstad Malaysia.

Hasrat tersebut dikongsikan oleh 56 peratus responden berusia 25 hingga 34 tahun berbanding 28 peratus responden antara 55 hingga 67 tahun menerusi kajian yang dijalankan mulai 13 hingga 30 Mac, 2020 melibatkan sekurang-kurangnya 400 saiz sampel bagi setiap pasaran.

Randstad dalam kenyataan hari ini berkata, kajian itu turut menunjukkan pekerja generasi muda lebih berminat menjadi usahawan dengan 82 peratus daripada generasi Z dan 76 peratus responden generasi muda memaklumkan bidang itu memberikan mereka lebih banyak peluang.

Sebaliknya, Randstad berkata, hanya 68 peratus daripada mereka yang berusia antara 55 dan 67 tahun berminat untuk menceburi bidang keusahawanan walaupun mempunyai kemampuan kewangan untuk berbuat demikian.

Pengarah Urusan Malaysia dan Singapura, Jaya Dass berkata mereka berminat untuk memulakan perniagaan sendiri pada usia yang lebih muda berikutan komitmen kewangan yang lebih kecil dan perspektif masa depan yang lebih luas.

“Dengan pelbagai kemahiran teknologi oleh generasi muda berikutan perkaitan mereka dengan dunia digital, majikan menghadapi tekanan untuk mencari jalan bagi menarik dan mengekalkan para pekerja ini.

“Adalah penting untuk syarikat berada sealiran dengan jangkaan pekerja dan memastikan usaha yang secukupnya dalam memaksimumkan pengalaman positif kepada pekerja,” katanya.

Sehubungan itu, Dass berkata majikan boleh memulakan usaha itu dengan mempelajari faktor penjenamaan yang penting dan menarik perhatian generasi muda serta memahami kehendak mereka dalam kerjaya, dan membuat perubahan kecil dan berperingkat untuk menarik lebih ramai tenaga kerja dan meningkatkan pengekalan pekerja.

— BERNAMA





Source link