Uncategorized

Hamparan gunung, tasik membiru melambung pesona Tajikistan


BAK kata pengembara, destinasi bukanlah perkara yang penting tetapi perjalanan untuk ke destinasi itulah yang boleh menjadi suatu pengalaman berharga sepanjang hayat.

Begitu juga apabila penulis berpeluang untuk mengunjungi Tajikistan. Perjalanan untuk sampai ke destinasi itu mampu membuka mata pengunjung dari sudut pandangan yang berbeza.

Dari hamparan landskap pergunungan di setiap sudut, hinggalah ke layanan baik rakyatnya terhadap tetamu, ia semua menyumbang kepada pengisian yang sungguh luar biasa.

Percaya atau tidak, masih ada rakyat Malaysia masih tidak tahu akan kewujudan negara ibarat syurga dunia ini, berikutan tiada hubungan bilateral antara Malaysia dan Tajikistan.

Penulis bersama jurukamera Mat Ruzi Mohd Saman yang mewakili Astro AWANI telah mengikuti rombongan media Malaysia yang buat kali pertama diundang kerajaan Tajikistan dalam usaha mencetuskan hubungan mesra antara kedua-dua buah negara, bermula dengan sektor pelancongan.

Berikut adalah lima sebab anda harus melawat Tajikistan sekurang-kurangnya sekali dalam hidup.

Antara puncak gunung tertinggi

Pemandangan gunung yang boleh dilihat dari setiap sudut negara - Astro AWANI/Saraya Mia

Tajikistan merupakan negara yang 93 peratus daripada muka buminya diliputi kawasan pergunungan.

Bentuk landskap sebegitu menyebabkan pengalaman perjalanan dalam kenderaan sungguh luar biasa dan tidak sama seperti apa yang boleh dapat di mana-mana tempat yang lain.

Gunung-ganang yang berbagai-bagai bentuk dan warna di setiap sudut pemandangan disertakan kehijauan tanaman ladang buah-buahan dan sayur-sayuran yang menghiasi perjalanan.

Bagi yang tidak pernah melihat semua itu, tentunya perspektif dari dalam kenderaan yang bergerak juga sudah sungguh menakjubkan. 

Terdapat juga laluan menerusi terowong yang dibina selepas kejatuhan Kesatuan Republik Sosialis Soviet (USSR) pada 1991. Sebelum wujudnya teknologi membuat terowong menembusi gunung, perjalanan dari satu tempat ke tempat yang lain sebelum ini agak bahaya kerana permukaan jalan yang mencabar.

Terdapat juga terowong yang jaraknya mencecah 5 kilometer.

Tasik membiru ini antara tarikan utama bagi peminat alam semula jadi. - Foto: Instagram @tajikistan

Penulis juga rasa teruja apabila melihat sekumpulan kambing gunung yang memerhatikan kehadiran delegasi dari Malaysia ini dari suatu jarak, dengan haiwan itu masing-masing berdiri megah di tebing-tebing gunung yang curam.

Apa yang lebih menarik, di Tajikistan keldai masih dinaiki oleh penduduk kampung bagi tujuan penggembalaan dan penunggang itu dikenali oleh rakyat tempatan sebagai ‘Koboi Tajik’.

Satu lagi ciri unik di Tajikistan ini adalah tentang keadaan perbezaan suhu yang bergantung kepada bentuk muka buminya.

Sebagai contoh, kawasan yang berada di altitud yang tinggi mempunyai suhu yang lebih rendah hingga boleh mencecah 15 darjah Celsius pada musim panas, manakala di kawasan di altitud rendah mempunyai suhu sekitar 25 darjah Celsius. Julat suhu juga akan berubah-ubah lagi berdasarkan perjalanan musim.

Bagi mereka yang gemarkan aktiviti lasak, negara ini adalah yang terbaik bagi melakukan aktiviti mendaki gunung dan berbasikal jarak jauh.

Ini kerana antara puncak gunung tertinggi di Asia Tengah terletak di Gunung Pamir, iaitu Puncak Ismoili Somoni yang berketinggian 7,495 meter.

Tasik dan sungai jernih

Sungai Nurek yang menjadi sumber tenaga elektrik negara Tajikistan - Astro AWANI/Saraya Mia

Di negara yang kaya dengan industri mineral aluminium ini, sungai dan tasik juga merupakan satu simbol kekayaan semula jadi dan sungai itu menyumbang kepada sumber air dan tenaga elektrik, sekali gus merancakkan sektor ekonomi Tajikistan.

Selain menjana ekonomi negara, lokasi air itu turut menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia yang menghargai lokasi seperti tasik dan sungai.

Ketika seseorang mendekati kawasan sungai, angin serta-merta menjadi lebih nyaman dan sejuk, walaupun ketika musim panas.

Sumber air sungai yang berasal dari glasier di atas gunung menyebabkan air itu pada suhu yang sangat rendah.

Antara sungai terkenal di Tajikistan ialah Sungai Iskanderkul, iaitu sungai bersejarah yang menurut rakyat tempatan, legenda Iskandar Zulkarnain dan kuda tunggangannya pernah sampai ke situ dalam perjalanan dari India ke Asia Tengah, sekali gus menyumbang kepada kemegahan nama dan cerita sungai tersebut.

Buah-buahan manis, organik

Buah anggur di sebuha ladang di Somon, Gissar - Astro AWANI/Saraya Mia

Jika anda jejakkan kaki di Tajikistan dan berpeluang merasa buah-buahan tempatan, anda mesti terkenang-kenang akan pengalaman itu.

Buah-buahan di negara itu yang manis ‘semanis-manisnya’, bersaiz besar dan isinya penuh berjus sememangnya menjadi kegemaran sesiapa sahaja, terutama jika buah itu dipetik segar dari ladang.

Para wartawan Malaysia juga sempat dibawa ke dua buah ladang buah-buahan di Somon, Gissar dan Dangara. Ia antara tapak perladangan yang dibuka sebagai salah satu produk pelancongan.

Kami mendapati pokok-pokok buah di situ subur kerana ditanam secara semula jadi, menyebabkan penghasilan buahnya lebih bersifat organik. Ia nyata berbeza berbanding buah-buahan yang dihasilkan secara komersial dan dijual di pasar raya moden hari ini, yang kebanyakannya menjalani proses perubahan genetik.

Antara buah yang paling gemar dimakan dan dihidang di meja makan termasuk buah anggur, buah tembikai dan tembikan madu, buah pic, buah epal, buah pir serta buah beri merah, biru dan hitam.

Rakyat peramah sambut tetamu

Rakyat tempatan menyambut kehadiran delegasi ke bandar Dangara - Astro AWANI/Saraya Mia

Layanan baik tetamu bermula dari hari pertama kami menjejakkan kaki di Tajikistan.

Rakyat Tajikistan yang bersikap peramah, sopan santun dan sangat mengalu-alukan kehadiran tetamu dari luar negara menyebabkan seseorang itu mudah mesra dengan negara berbudaya unik itu.

Sewaktu kami singgah di beberapa pekan dan bandar kecil di kawasan luar bandar, rakyat tempatan menyambut kehadiran kami dengan mengadakan persembahan istimewa sebagai tanda penghargaan.

Wanita Tajikistan akan menari manakala golongan lelakinya bermain alat muzik tradisional yang dikenali sebagai karnai dan surnay, selain alatan gendang.

Wajah-wajah wanita Tajikistan berpakaian tradisional - Astro AWANI/Saraya Mia

Wajah-wajah anak muda yang menunjukkan rasa gembira tatkala menyambut kami sungguh menyentuh hati.

Secara perbandingan, meskipun keadaan kehidupan orang tempatan dilihat belum semaju Malaysia, lantaran baru saja memperoleh kemerdekaan pada 28 tahun lalu, namun ekspresi wajah mereka menunjukkan bahawa mereka bangga dan bersyukur dengan apa yang mereka miliki.

Makanan halal dan murah

Hidangan pembuka selera yang disertai buah-buahan dan sayur-sayuran - Astro AWANI/Saraya Mia

Makanan tempatan tajikistan yang pelbagai jenis merupakan salah satu sebab anda mesti jatuh cinta dengan negara itu.

Hidangan mereka dimulakan dengan pembuka selera seperti sambusa, sayur-sayuran, dan buah-buahan, disertakan dengan sup kambing sebelum diikuti dengan hidangan utama seperti pilaf, dan diakhiri dengan manisan.

Secara perbandingan, pengalaman gastronomi di Tajikistan boleh diibaratkan suatu gabungan khas citarasa Asia Barat khususnya Turki dengan pengaruh dapur Rusia.

Jamuan makan tengah hari bersama delegasi dari Malaysia - Astro AWANI/Saraya Mia

98 peratus rakyat Tajikistan terdiri daripada masyarakat Islam dan ini tentunya membuatkan makanan halal di negara itu senang untuk didapati.

Lebih menarik, makanan di negara yang terletak di pusat Asia Tengah itu begitu murah jika dibandingkan dengan negara Asia yang lain.

Sebagai rujukan, nilai RM1 bersamaan dengan 2.30 Somoni. Bagi rakyat Malaysia yang berhasrat melancong ke Tajikistan, mereka boleh membuat permohonan visa di atas talian dan dengan kemasukan sebagai pelancong, mereka boleh berada di negara itu selama 45 hari.

Proses permohonan mengambil masa tiga hari bekerja untuk diluluskan dan pemohon hanya perlu membayar AS$50 (RM209) sahaja.

Bagi pakej penerbangan, kini tiada penerbangan terus dari Malaysia ke Tajikistan namun pelancong dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) lazimnya perlu transit di Lapangan Terbang Dubai (DXB) selama 7 jam, kemudian dari DXB ke Lapangan Terbang Dushanbe yang mengambil masa selama tiga jam setengah.





Source link