Uncategorized

Jangan Viral Dulu! Ombudsman Boleh Bantu Menyelesaikan Pertikaian Kewangan Anda


Mesti ramai tak pernah dengar pasal Ombudsman ni kan? Perkataan pun tak pernah dengar, maksud lagilah tak tahu.

Kalau diikutkan, Ombudsman bermaksud “orang atau badan bebas untuk menangani dan menyelesaikan pertikaian secara adil dan cepat, alternatif kepada mahkamah atau sebarang cara perundangan lain.”

Di Malaysia, kita ada Ombudsman for Financial Services (OFS) [dahulunya dikenali sebagai Biro Pengantaraan Kewangan] yang ditubuhkan pada 30 Ogos 2004 dan memulakan perkhidmatan pada 20 Januari 2005. OFS dilantik oleh BNM sebagai pengendali Skim Ombudsman Kewangan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

FOS dilancarkan pada 1 Oktober 2016. OFS adalah sebuah organisasi tidak berasaskan keuntungan dan berfungsi sebagai saluran alternatif penyelesaian pertikaian untuk menyelesaikan pertikaian di antara pengguna kewangan dan anggota kami yang merupakan penyedia perkhidmatan kewangan (FSP), yang dilesenkan atau diluluskan oleh BNM.

Nak tahu lebih lanjut pasal Ombudsman ni, jom kita dengar kupasan Tuan Hanif Yahaya, seorang financial planner yang bertauliah.

Jangan Viral Dulu

Ada orang bila tak puas hati sesuatu perkara seperti tuntutan insurans/takaful tak berjaya, terus tularkan dalam media sosial. Namun, tiada laporan dibuat kepada pihak yang sepatutnya.

Sebenarnya, saya sendiri sebagai penasihat kewangan pernah mengalami masalah tuntutan takaful. Kisah bermula apabila saya terlibat dalam kemalangan. Sebaik laporan polis dibuat, terus saya hantar ke bengkel kereta untuk proses baik pulih kenderaan.

Sebulan berlalu, barulah kenderaan itu siap dibaiki. Namun, pusat servis tu bagitahu yang saya kena bayar dalam seribu lebih kerana jumlah perlindungan kenderaan tak mencukupi.

Mengikut peraturan di Malaysia, sekiranya jumlah perlindungan kenderaan tak mencukupi, syarikat insurans/takaful tak akan membayar kesemua bil tuntutan. Pelanggan perlu membayar sebahagian mengikut peratusan jumlah perlindungan yang tak mencukupi.

Terkejut saya dibuatnya. Saya tak pernah ambil perlindungan di bawah nilai pasaran harga kereta.

Perkara pertama saya buat adalah mengumpul segala bahan bukti. Saya pergi ke laman sesawang Car Info untuk dapatkan maklumat terkini harga kenderaan saya. Kebetulan, laman sesawang syarikat takaful berkenaan pun boleh membuat carian harga pasaran semasa kenderaan.

Saya cukup lega kerana perlindungan yang saya ambil masih dalam lingkungan harga pasaran semasa. Lepas screenshot segala bukti, saya pergi membuat aduan di khidmat pelanggan syarikat berkenaan.

Alhamdulillah, selepas 2 minggu aduan saya diterima. Syarikat takaful berkenaan setuju membayar kesemua bil tuntutan. Petang tu, pusat servis telefon dan beritahu segala tuntutan dah dibayar.

Proses Membuat Aduan di Malaysia

1. Kumpul segala bukti sekiranya memang jelas anda merasakan diri tak bersalah

2. Buat aduan ke khidmat pelanggan syarikat insurans/takaful yang terlibat berserta segala bukti dan fakta kes

3. Tunggu respons balas daripada syarikat

4. Sekiranya tak puas hati dengan keputusan diberikan oleh syarikat atau syarikat tak beri maklumbalas selepas 60 hari kemukan aduan, sila laporkan ke Ombudsman for Financial Services

Aduan boleh dibuat secara bertulis dan dihantar melalui surat/emel atau hadir terus ke:

Chief Executive Officer
Ombudsman for Financial Services (664393P)
14th Floor, Main Block
Menara Takaful Malaysia
No. 4, Jalan Sultan Sulaiman
50000 Kuala Lumpur

5. Pastikan buat dulu aduan ke syarikat insurans/takaful anda sebelum buat aduan ke Ombudsman. Jangan terus hantar ke Ombudsman

6. Ombudsman akan meneliti kes dan memberi keputusan. Oh ya, perkhidmatan yang diberikan oleh Ombudsman adalah PERCUMA.

7. Sekiranya masih tak puas hati dengan keputusan yang diberikan, boleh panjangkan kes ini ke mahkamah. Kos guaman perlu ditanggung oleh anda.

Semoga panduan ini dapat membantu anda.

Ikuti kisaha Sara yang bijak melantik seorang Licensed Financial Planner menguruskan segala hal-hal kewangan beliau

Ditulis oleh Hanif Yahaya. Seorang perancang kewangan dan penasihat kewangan yang berlesen daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM). Beliau juga adalah pelajar terbaik Shariah Registered Financial Planner (ShRFP). Berpengalaman memberi khidmat nasihat kewangan individu dan korporat. Boleh hubungi beliau di drhanifyahaya@yahoo.com

Komen

komen





Source link