Artikel Terkini

Kejujuran Sahabat Nabi Muhammad SAW Dalam Transaksi Jual Beli


Kisah ini diambil daripada kitab kecil bertajuk Al-Khittah Al-Barraqah lizi An-Nafsi At-Tawwaqah karangan Sheikh Dr. Solah al-Khalidi, ulama Tafsir yang berasal dari Palestin dan kini menetap di Jordan.

Ianya merupakan kisah seorang sahabat Nabi, periwayat Hadis bernama Jarir Al-Bajali dan kefahaman beliau mengenai perintah Nasihat dalam Islam. 

Jarir telah memeluk Islam pada tahun 10 Hijrah di Madinah dan mengucap bai’ah (sumpah setia) kepada baginda Rasulullah SAW. Beliau berkata, “Aku berbaiah kepada Rasulullah SAW untuk selalu mendirikan solat, membayar zakat dan bernasihat kepada setiap Muslim.”

Sehingga akhir hayat beliau, Jarir tetap berpegang teguh dengan tiga janji yang diucapkannya.

Kisah Untuk Dijadikan Teladan

Pada satu hari, Jarir meminta pembantunya pergi ke pasar untuk membeli seekor kuda. Pembantunya  mencari kuda yang elok dan akhirnya berjumpa dengan seorang pemilik kuda dan mereka sepakat dengan harga 300 dirham, lalu mereka berdua mendatangi Jarir untuk mengambil wang yang disepakati.

Jarir bertanya:
“Berapakah harganya?” Pemilik kuda berkata: “300 dirham.”

Jarir berkata:
“Kuda ini bernilai lebih daripada itu.”

Pemilik kuda itu
bertanya: “Berapakah harganya pada pandanganmu?”

Jarir berkata:
“Kamu harus menjualnya antara 500 dirham. Kemudian Jarir menbuat tawaran
melebihi harga 500 dirham hinggalah beliau berkata: “Eh tidak, kuda kamu
sangat baik dan harganya patut 800 dirham.”

Akhirnya kuda
itu dibeli dengan harga 800 dirham. 

Apabila ditanya
mengapa beliau melakukan sedemikian, Jarir menjawab: “Saya berjanji kepada
Rasulullah SAW untuk sentiasa memberi nasihat kepada Muslimin.”

Renungilah kisah ini dan bandingkan dengan sifat yang ada dalam diri kita. Betapa jauhnya kita dengan sifat sahabat Rasulullah ini, baik kita sebagai penjual apatah lagi kita sebagai pembeli. Sama ada kita menipu atau kita yang ditipu.

Ditulis oleh Arham Merican, pegawai Shariah di salah sebuah bank Islam antarabangsa dan sedang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Pengajian Pembangunan. Meminati bidang ekonomi dan Shariah dengan fokus pada pemberdayaan modal insan.

Jemput baca juga:



Source link