Artikel Terkini

Kenali 2 Gergasi Penghuni Dompet Anda, Visa dan Mastercard


Ketika ini pasaran saham tempatan nampaknya sedang koyak dan belum ada tanda-tanda pemulihan yang jelas. Mungkin ini adalah masa yang baik untuk kita cuba intai-intai pasaran luar negara. Untuk permulaan, apa kata kita tengok sesuata yang dekat dengan kita.

Sama ada sedar atau tak, ada 2 gergasi antarabangsa yang sejak sekian lama telah menghuni dompet-dompet kita secara berleluasa. Cuba jenguk sekejap dalam dompet masing-masing.

Pasti akan
terlihat salah satu atau mungkin kedua-dua gergasi tersebut yang namanya Visa
dan Mastercard.

Tahukah anda, kedua-duanya menguasai lebih 85% pasaran rangkaian transaksi kad antarabangsa?

Ye tuan-tuan, lebih 85% pegangan pasaran seluruh dunia! Satu situasi duopoli yang pastinya sukar dipecahkan dan dilihat sukar digugat untuk bertahun-tahun atau berpuluh tahun yang akan datang.

Ada analisa yang mengatakan terdapat satu lagi pemain yang setara bernama UnionPay, namun penguasaan UnionPay majoritinya hanya di China, jadi kita kuarantin dulu daripada konteks artikel ini.

Berbalik kepada Visa dan Mastercard, lihat sahaja prestasi saham kedua-duanya yang didagangkan di New York Stock Exchange (NYSE). ‘Home Run Stock’ bak kata otai pelaburan saham.

Sumber: Google

Menariknya, kedua-dua saham ini juga mendapat pengesahan patuh shariah. Di antara sumber yang boleh dan mudah digunakan untuk membuat semakan, adalah dengan menggunakan aplikasi Islamicly seperti tangkap layar berikut:

Mungkin agak pelik jika difikirkan, bagaimana syarikat yang sinonim dengan servis perbankan dan kewangan boleh menepati penanda aras patuh shariah.

Sedangkan di negara kita yang dikenali sebagai hab kewangan Islam pun hanya 3 saham syarikat senaraian awam dalam sektor kewangan yang berstatus patuh shariah, inikan pula syarikat dari Amerika Syarikat?

Jawapan ringkasnya, Visa dan Mastercard bukan bank atau institusi kewangan. Ia adalah penyedia teknologi pemprosesan transaksi berasaskan kad.

Perniagaan terasnya tidak melibatkan unsur riba’ dengan pendapatan utama daripada yuran servis yang dikenakan kepada institusi kewangan yang menggunakan teknologi dan rangkaian disediakan. Penerangan lanjut ada di aplikasi Islamicly:

Ketika ini, daripada ratusan bank dan institusi kewangan yang ada di seluruh dunia, lebih 4.3 bilion kad kredit, debit mahupun prabayar yang dikeluarkan mempunyai cop dari 2 syarikat sahaja.

2 entiti ini juga secara agregat memproses lebih daripada $11 trilion USD nilai transaksi tahunan. Sebahagian besarnya melibatkan transaksi antarabangsa dan rentas sempadan yang dijangka akan terus meningkat seiring dengan arus globalisasi.

Ketika bank dan institusi kewangan sentiasa perlu berdepan dengan cabaran ekonomi, di sebalik tabir, Visa dan Mastercard ibarat air dan eletrik. Ia mampu kekal relevan dalam apa jua situasi semasa.

Menarik kan? Ini baru deskripsi ringkas mengenai 2 syarikat senaraian awam di luar sana. Banyak lagi saham-saham global yang hebat-hebat dan patuh shariah yang menarik untuk dikaji.

Saham luar negara mahal sangat? Ok tak apa. Kita balik ke Bursa Malaysia sekejap. Kaji syarikat-syarikat yang berada dalam ‘supply chain’ nama-nama besar antarabangsa. Contohnya, kita ada pengilang komponen untuk syarikat Apple, pengeluar terbesar sarung tangan getah dunia yang mengalami permintaan tinggi akibat daripada virus Covid-19 yang melanda, dan sebagainya.

Atau ambil pengajaran daripada Visa dan Mastercard. Sebagai contoh, bagi trend e-wallet yang sedang pesat meningkat, umum tahu pengendali e-wallet ketika ini beroperasi dalam fasa awal dengan menanggung rugi.

Tapi di sebalik tabir, sebenarnya ada entiti yang berfungsi ibarat ‘air dan eletrik’. Cuba kaji dan kenal pasti, mana tahu kita dapat ketemu Visa atau Mastercard versi tempatan!

Penulis adalah seorang penganalisis di sebuah firma pengurusan asset dan dana di Malaysia. Ini adalah pendapat peribadi penulis untuk tujuan pembelajaran dan tidak mewakili mana-mana organisasi. Ia bukan saranan untuk mengambil posisi dalam mana-mana sekuriti yang disebut.



Source link