Artikel Terkini

Kenali 4 Falsafah Pelaburan Yang Terkenal, Cuba Tengok Anda Yang Mana


Apakah itu falsafah pelaburan atau ‘investment philosophy‘? Yang ada pengalaman menggunakan pengurus aset seperti Eastspring Asset Management atau pun Affin Hwang Asset Management mungkin dah tahu maksud falsafah pelaburan.

Tak kiralah kita melabur untuk diri sendiri atau menggunakan khidmat pengurus aset, benda pertama yang kita kena tahu adalah falsafah pelaburan.

Falsafah Pelaburan Adalah Asas

Falsafah pelaburan ialah kepercayaan dan prinsip yang menjadi panduan dalam membuat setiap keputusan pelaburan. Falsafah pelaburan adalah seperti strategi pelaburan, cumanya falsafah pelaburan membentangkan skop yang lebih besar manakala strategi pelaburan bersifat lebih spesifik.

Sebab itulah, di bawah satu falsafah pelaburan boleh terlahirnya beberapa jenis strategi yang berbeza.

Apabila wujudnya sesebuah falsafah pelaburan, ia merupakan satu kewajipan untuk setiap pengurus dana di bawah syarikat tersebut untuk mengikuti falsafah itu; kerana ia adalah sebuah prinsip dan kepercayaan yang tidak boleh dilanggar.

Kalau falsafah pelaburan syarikat X ialah long term value investing, kita tidak boleh melakukan short term trading kerana itu telah melanggar falsafah pelaburan syarikat X. Pada masa yang sama, ianya telah mengkhianati kepercayaan klien anda yang inginkan long term value investing.

Secara ringkasnya, falsafah pelaburan berperanan untuk memberikan gambaran terhadap prinsip pelaburan syarikat kepada klien dan juga menjadi panduan kepada pengurus dana yang bekerja di syarikat tersebut supaya mereka lebih berdisiplin.

Namun, tidak pelik juga kita jumpa sebuah syarikat besar yang mempunyai banyak dana dan mempunyai falsafah pelaburan yang berbeza-beza. Ini adalah kerana mereka target pelbagai jenis klien.

Formulasi Falsafah Pelaburan Sendiri

Setakat ini, tiada peraturan yang jelas untuk membangunkan falsafah pelaburan. Hanya beberapa contoh “ramuan” yang diperlukan untuk membentuk sebuah falsafah pelaburan anda sendiri.

Ia perlu menjawab satu soalan yang paling penting iaitu “bagaimana”. Ia boleh terdiri daripada satu atau semua elemen-elemen di bawah:

1. Objektif

Menjana pertumbuhan dana secara konsisten dalam jangkamasa panjang…

2. Pengurusan risiko

…tanpa mengambil risiko berlebihan…

3. Metodologi atau “bagaimana”

…melalui pelaburan ke dalam syarikat yang mempunyai pertumbuhan keuntungan yang konsisten.

Apabila kita gabungkan ayat-ayat di atas, kita akan memperolehi sebuah falsafah pelaburan yang ringkas tetapi jelas! Setelah kita tetapkan falsafah pelaburan, barulah kita boleh merangka strategi untuk dana kita.

Strategi tersebut mestilah bertepatan dengan falsafah pelaburan kita.

4 Falsafah Pelaburan Pelabur Terkenal

Secara dasarnya, falsafah yang mereka pegang tidaklah terlalu formal seperti contoh di atas. Namun, ianya mengandungi elemen yang paling penting iaitu “bagaimanakah memilih pelaburan yang menguntungkan”.

1. Warren Buffet (dan Benjamin Graham)

Boleh dikatakan bahawa sebahagian besar falsafah Warren Buffett berasal dari Benjamin Graham, yang merupakan cikgunya. Falsafah pelaburan mereka berasal daripada konsep value investing, iaitu mencari saham yang harganya jauh dibawah nilai intrinsik tanpa sebab yang munasabah.

Ini boleh dicapai melalui kaedah fundamental analysis. Warren Buffett tidak terlalu hiraukan kenaikan harga saham yang dipegang. Bagi beliau, yang penting adalah syarikat tersebut hebat dalam menjana keuntungan secara konsisten.

2. Peter Lynch

Peter Lynch adalah pemegang kaedah ‘bottom-up approach‘ iaitu menganalisa saham satu demi satu untuk mencari saham yang baik daripada segi pertumbuhan dan peluang menjana keuntungan. Menurutnya, “invest in what you know” adalah elemen paling penting dalam sesebuah pelaburan yang berjaya.

Lebih banyak seseorang pelabur itu tahu tentang syarikat tersebut, lebih tinggi peluang untuk menjumpai ciri-ciri yang menjadikan saham syarikat tersebut melonjak naik.

3. Carl Icahn

Carl Icahn melabur melalui syarikatnya iaitu Icahn Enterprises. Carl Icahn percaya kepada falsafah ‘contrarian investing’ iaitu membeli saham yang tidak diinginkan oleh sesiapa. Caranya adalah dengan membeli syarikat yang murah daripada segi PE ratio dan book value yang lebih tinggi dari market cap (PB ratio kurang dari 1).

Lalu beliau menjadi pemegang saham terbesar dalam syarikat tersebut dan menjalankan penstrukturan semula untuk unlock nilai intrinsik syarikat tersebut.

4. John Templeton

John Templeton boleh dikatakan sebagai gabungan Carl Icahn dan Warren Buffett kerana beliau adalah seorang contrarian dan pada masa yang sama juga menggunakan teknik fundamental analysis.

Di Antara transaksi yang paling popular pernah dilakukan John Templeton ialah pembelian 100 unit saham setiap syarikat yang berharga kurang daripada satu dolar setiap unit.

Beliau membelanjakan sebanyak lebih $10,000 USD pada masa itu dan kemudiannya menjual portfolio tersebut dengan nilai lebih kurang $40,000 USD, memberikannya keuntungan 4 kali ganda.

Ditulis oleh Azam, seorang pengurus dana saham antarabangsa di sebuah institusi kewangan di Malaysia.

Penafian: Artikel ini merupakan pendapat dan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan rasmi mana-mana individu/organisasi. Penulis tidak menerima sebarang bayaran pengiklanan dari mana-mana individu/organisasi yang disebutkan di dalam artikel ini.



Source link