Artikel Terkini

Keputusan lanjut moratorium diketahui dalam masa terdekat



KUALA LUMPUR: Institusi perbankan menyatakan komitmen mereka bagi membantu meringankan beban aliran tunai rakyat dengan melanjutkan tempoh moratorium yang bakal berakhir September ini .

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata pihaknya sedang berbincang dengan sektor perbankan dan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membincangkan kemungkinan lanjutan moratorium.

“Saya ingin menyatakan bahawa dalam perbincangan yang sedang diadakan sekarang bersama dengan BNM dan sektor perbankan mengenai hala tuju ke hadapan, mereka telah memberi komitmen untuk terus membantu rakyat yang memerlukan bantuan dalam tempoh mencabar ini.

“Insyallah, keputusan (melanjutkan tempoh moratorium) akan dimaklumkan dalam masa terdekat ini,” katanya bagi menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) sama ada tempoh moratorium akan dilanjutkan hingga enam bulan lagi.

Sehingga 20 Julai lalu, nilai moratorium yang diberikan ialah sebanyak RM59 bilion, sekali gus memberi manfaat buat 7.7 juta rakyat Malaysia atau 93 peratus daripada peminjam individu.

Tambah Tengku Zafrul, Malaysia ialah satu-satunya negara yang melaksanakan moratorium secara automatik selama enam bulan demi manfaat kepada rakyat dan perniagaan di negara ini.

“Dalam kalangan negara yang memperkenalkan moratorium ini, Malaysia ialah satu-satunya negara terawal yang melaksanakan moratorium secara automatik dan hanya Malaysia yang membuat moratorium selama enam bulan.

“Saya yakin moratorium ini dapat membantu rakyat dan perniagaan dalam mengharungi tempoh mencabar disebabkan COVID-19 ini, ” katanya





Source link

Related Posts