Artikel Terkini

Koronavirus tidak jejas unjuran ekonomi negara – Mohamed Azmin



KUALA LUMPUR: Kerajaan memaklumkan penularan koronavirus baharu (2019-nCoV) tidak memberi kesan kepada unjuran ekonomi negara buat masa ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, bagaimanapun berkata ia akan memberi kesan terhadap ekonomi negara dalam tempoh jangka panjang jika wabak itu tidak ditangani dengan baik.

Katanya, penularan wabak itu tidak boleh dipandang remeh dan kerajaan sudah pun mengambil langkah proaktif bagi membendungnya.

“Tidak (memberi kesan kepada unjuran ekonomi). Kita menumpukan kepada pergerakan pelancong dari dua daerah yang berkenaan dan kalau ada kesan pun saya ingat ketika ini kita juga harus melihat pergerakan dagangan bahan makanan.

“Ini memang satu perkara biasa dalam import-eksport dan bahan makanan memang perlu diperhalusi supaya terjamin kebersihan dan keselamatan penggunaan produk-produk makanan tersebut. Tanpa wabak pun, ini (kebersihan dan keselamatan makanan) memang dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kerjasama Strategik PETRONAS dan Agrobank, di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Azmin bagaimanapun mengakui pasaran saham negara berada pada paras yang rendah berbanding negara-negara serantau.

“Tetapi asas kita masih kukuh. Apa yang kita (kerajaan) telah lakukan sejak setahun lalu adalah mengembalikan dan memulihkan keyakinan para pelabur untuk kembali ke Malaysia dan menggunakan Malaysia sebagai laluan untuk menembusi pasaran ASEAN.

“Daripada statistik dan angka, kita dapati keyakinan pelabur sudah kembali untuk datang ke Malaysia dan dengan pengumuman Transparency International Malaysia (TI-M)  baru-baru ini pastinya dapat membantu memulihkan keyakinan pelabur kerana indeks rasuah negara hari ini telah bertambah baik dan meningkat ke-10 anak tangga,” katanya.

Bursa Malaysia pada Selasa dibuka rendah berikutan peniaga mengambil petunjuk daripada penurunan semalaman dalam pasaran saham Amerika Syarikat (AS) dengan kebimbangan yang meningkat mengenai wabak coronavirus.

Setakat 9.18 pagi tadi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.48 peratus atau 23.31 mata kepada 1,549.50 daripada 1,572.63 semasa ditutup pada Jumaat, selepas dibuka rendah 14.24 mata kepada 1,558.57.





Source link

Related Posts