Uncategorized

Lima Fokus Utama Pasaran Saham Global Minggu Ini (9 – 13 September 2019)


Pasaran saham Wall Street pada akhir dagangan minggu lalu bergerak sedikit tinggi
disokong oleh laporan pekerjaan Non-Fram
Payroll
(NFP) yang memberangsangkan termasuk komen dovish oleh Pengerusi Federal
Reserve
(The Fed), Jerome Powell.

Dalam masa yang sama, penasihat ekonomi White House Larry Kudlow mengatakan perjanjian dengan China boleh dicapai walaupun mengambil masa yang lama. Saham teknologi di Wall Street mudah terkesan dengan isu perdagangan Amerika Syarikat dan China kerana kebergantungan beberapa syarikat dalam membekalkan peralatan kepada syarikat China terutamanya Huawei.

Pada minggu lalu, saham berkaitan
teknologi membuat kenaikan pada Rabu dan Khamis selepas laporan rundingan
AS-China yang akan bersambung di Washington pada bulan hadapan.

Laporan
pekerjaan NFP yang juga antara perhatian utama pada minggu lalu merekodkan
tambahan 130,000 pekerjaan bukan perladangan di Amerika Syarikat. Walaupun
bacaan itu kurang daripada jangkaan, namun komponen
pekerjaan swasta merekodkan bacaan lebih tinggi daripada yang diramalkan
sekaligus menunjukkan amalan pengambilan pekerja dalam sektor swasta kekal
kukuh di negara itu.

Jerome
Powell semasa ucapannya di Switzerland juga berkata ekonomi kekal sihat dan tidak berada dalam keadaan bahaya untuk jatuh
ke lembah kemelesetan.
Ini menunjukkan keyakinan Powell dengan keadaan
semasa ekonomi di Amerika Syarikat walaupun terdapat kebimbangan berlakunya
kemelesetan ekonomi dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Pelabur pada minggu ini akan
memberi perhatian kepada mesyuarat European
Central Bank
(ECB) termasuk perkembangan isu Brexit dalam politik UK dan
juga hubungan dagang AS-China.

Tidak dinafikan peranan dua risiko geopolitik (Brexit dan perang perdagangan) adalah punca utama kepada risiko pasaran global setelah sekian lama dengan isu Brexit telah berlanjutan selama tiga tahun sejak referendum pada tahun 2016.

Berikut adalah lima tema utama yang bakal menjadi perhatian pelabur global sepanjang minggu ini.

1. Ketidaktentuan Brexit Dalam Politik United Kingdom

Minggu lalu adalah satu tempoh yang agak kritikal bagi Perdana Menteri UK, Boris Johnson. Nampaknya, kemungkinan penangguhan Brexit semakin meningkat di mana usaha Boris untuk membawa keluar UK daripada Kesatuan Eropah (EU) semakin pudar dengan tentangan oleh majoriti ahli Parlimen United Kingdom.

Boris kehilangan majoriti dalam undian yang diadakan pada minggu lalu dengan usul beliau untuk mengadakan pilihanraya dihalang oleh Parlimen.

Boris cuba menggagalkan usaha Parlimen bagi melanjutkan tempoh Brexit daripada tarikh asal 31 Oktober 2019 dengan menggantung Parlimen UK selama tiga minggu tetapi dihalang oleh Parlimen.

Boris dijangka sekali lagi akan mengusulkan pilihanraya mengejut pada Isnin (9 September 2019), namun ahli parlimen dilihat tidak akan menyokong selagi tarikh Brexit tidak ditangguhkan.

2. Perkembangan Perang Perdagangan Amerika Syarikat-China

Citarasa kepada risiko (Risk-Appetite) meningkat pada minggu lalu apabila rundingan di antara AS-China dijadual bersambung pada awal Oktober 2019. Ia disahkan sendiri oleh Menteri Perdagangan China selepas panggilan telefon di antara pegawai kedua-dua negara.

Selain daripada itu, laporan juga menunjukkan China bercadang untuk membeli produk pertanian Amerika Syarikat pada kadar yang sederhana jika Washington mengurangkan halangan terhadap syarikat telekomunikasi China, Huawei.

Amerika Syarikat dan China telah mengenakan kenaikan tarif yang berkuatkuasa pada bulan September 2019 dengan beberapa kenaikan lagi dijangka pada bulan Oktober dan Disember.

3. Mesyuarat Terakhir Oleh Mario Draghi (Presiden ECB)

Mesyuarat European Central Bank (ECB) kali ini adalah yang terakhir dipengerusikan oleh Mario Draghi sejak dilantik menjadi Presiden ECB pada tahun 2011. Beliau juga pernah berkhidmat dengan Goldman Sachs pada tahun 2002 sehingga 2005 sebelum menjadi Gabenor Bank Pusat Itali pada tahun 2005-2011.

ECB dijangka akan meluluskan
rangsangan baru pada Khamis bagi menyokong ekonomi yang kian perlahan.

Jenis
dan kadar sokongan kepada ekonomi masih lagi menjadi persoalan sama ada bank
pusat itu akan menurunkan kadar faedah atau memulakan semula program pembelian
bon.

Majoriti pasaran melihat kadar faedah akan diturunkan, manakala program pembelian bon masih tidak dapat dipastikan selepas ia dihentikan kurang setahun yang lalu.

4. Data Ekonomi Amerika Syarikat

Salah satu sebab utama The Fed memotong kadar faedah pada Julai 2019 yang lalu adalah disebabkan kadar inflasi yang rendah di Amerika Syarikat. Dengan berbaki kurang dua minggu sebelum mesyuarat bank pusat itu, tumpuan akan terarah kepada bacaan terbaru inflasi bagi bulan Ogos 2019 yang akan dikeluarkan pada hari Khamis (12 September 2019) pukul 8.30 malam.

Indeks Harga Pengguna (CPI) naik 0.3% pada bulan Julai, manakala Core-CPI pula meningkat pada kadar sama dengan bacaan tahunan 2.2%. Peningkatan terhadap data ini akan mengurangkan potensi pemotongan kadar faedah oleh The Fed pada minggu hadapan, manakala sebaliknya akan mencetuskan jangkaan pelonggaran dasar monetari oleh bank pusat.

Selain daripada itu, data jualan runcit pula akan dikeluarkan pada hari berikutnya (13 September 2019) juga pada pukul 8.30 malam. Data ini penting bagi melihat tingkah-laku pengguna di Amerika Syarikat di samping menjadi faktor kepada naik-turun inflasi. Oleh itu, data ini juga akan menjadi perhatian The Fed sebelum mesyuarat berlangsung pada 18 September 2019. Hasil mesyuarat akan diumumkan pada minggu depan Khamis (19 September 2019) pukul 2 pagi.

5. Kemerosotan Data Eksport China

Eksport
China jatuh tanpa dijangka pada bulan Ogos 2019 berikutan penghantaran barangan
ke Amerika Syarikat yang turun mendadak. China dijangka akan mengumumkan
sokongan terhadap ekonomi dalam masa terdekat bagi mengelakkan risiko kejatuhan
ekonomi.

Ia termasuklah sokongan melalui
dasar monetari dengan pemotongan nisbah rizab oleh People’s Bank of China (PBoC) yang telah diumumkan baru-baru ini.

Ekonomi
kedua terbesar dunia itu merekodkan kejatuhan eksport sebanyak 1% dari tahun ke
tahun yang merupakan kejatuhan terbesar sejak bulan Jun 2019 yang mencatat
penurunan 1.3%.

Agak mengejutkan, eksport ke Amerika Syarikat jatuh sebanyak 16% dari segi tahunan, turun mendadak daripada kemerosotan 6.5% pada bulan Julai. Dalam masa yang sama import produk Amerika Syarikat oleh China pula jatuh sebanyak 22.4%.

Dalam
perkembangan baru, China dan Amerika Syarikat bersetuju untuk meyambung
rundingan pada bulan hadapan.

Sumber Rujukan:

  1. https://www.scmp.com/economy/china-economy/article/3026401/us-must-concede-final-20-cent-agree-trade-war-deal-china
  2. https://www.investing.com/news/economy/economic-calendar–top-5-things-to-watch-this-week-1972925
  3. https://www.ft.com/content/aee82ea2-5b5e-34f0-99c3-ace312eb00c1
  4. https://www.investing.com/news/forex-news/stocks-jobs-report-feds-powell-help-boost-sp-500-1972567
  5. https://www.reuters.com/article/us-eurozone-ecb-qe/the-life-and-times-of-ecb-quantitative-easing-2015-18-idUSKBN1OB1SM
  6. https://www.investing.com/news/commodities-news/gold-prices-drop-as-trade-tensions-ease-1971857
  7. https://www.bbc.com/news/business-49625843
  8. https://www.investing.com/news/economy/3-things-under-the-radar-this-week-fed-speak-gold-and-iphone-launch-1972082
  9. https://www.investing.com/news/economy/take-five-of-bazookas-bats-and-brexit-1972295
  10. https://edition.cnn.com/2019/09/08/investing/stocks-week-ahead/index.html

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Komen

komen





Source link