Artikel Terkini

Lima Penggerak Utama Pasaran Global Minggu Ini (3–7 Februari 2020)


Jumlah pesakit yang disahkan terkena jangkitan koronavirus semakin meningkat hari demi hari. Jumlah kematian juga telah mencecah lebih daripada lebih 300 orang iaitu peningkatan tiga kali ganda berbanding seminggu yang lalu.

Ini adalah ketidaktentuan yang memandu sentimen pelabur pada minggu sebelum ini, apabila menyaksikan pasaran Wall Street merekodkan penurunan mendadak pada akhir dagangan minggu lalu (31 Januari 2020).

Ketiga-tiga indeks utama bursa saham New York (NYSE)
merekodkan penyusutan lebih daripada satu peratus dengan Dow Jones
Industrial Average
(DJIA) mencatat prestasi terburuk sejak bulan Ogos 2019
dengan kejatuhan 2.10%, manakala indeks komposit Nasdaq dan S&P 500 masing-masing
jatuh lebih daripada 1.50%.

Kejatuhan besar Dow Jones adalah berikutan tindakan Amerika
Syarikat menggantung semua penerbangan yang melibatkan China berikutan jumlah
jangkitan meningkat lebih daripada 17,000 orang.

Starbucks, Apple dan Google telah mengurangkan operasi
perniagaan mereka di China. Dalam laporan pendapatannya minggu lalu, Starbucks
mengumumkan bahawa lebih daripada separuh kedainya di China telah ditutup.
Apple turut mengumumkan perkara sama dalam laporan pendapatannya dengan pelbagai
syarikat penerbangan juga telah membatalkan operasi pergi dan balik dari China.

Ketika ini tiada siapa yang tahu kesan sebenar koronavirus
kepada ekonomi global. Tetapi  kesan yang
signifikan mampu ditinggalkan oleh virus ini jika berlarutan lebih lama kerana
China mewakili 18% daripada ekonomi dunia.

Para pelabur telah menunjukkan tanda-tanda peralihan daripada aset berisko kepada aset yang lebih selamat dengan kenaikan emas sepanjang minggu lalu dan kejatuhan besar Wall Street pada hari Jumaat. (31 Januari 2020)

Selepas cuti panjang, pasaran kewangan China dibuka pada hari Isnin (3 Februari 2020) berikutan cuti Tahun Baru Cina sedia ada dilanjutkan oleh kerajaan. Pelabur akan terus meneliti perkembangan ekonomi global yang kian terkesan oleh koronavirus.

Pasaran Asia pada hari pertama minggu ini bergerak volatile (turun-naik) selepas penutupan pasaran China sejak minggu lalu. Paling terkesan adalah Australia yang banyak bergantung kepada eksport ke negara itu.

Musim pelaporan pendapatan juga belum berakhir dengan tumpuan pada minggu ini terarah kepada syarikat Disney, syarikat induk Google iaitu Alphabet, dan Twitter.

Perhatian juga akan tertumpu kepada hari Jumaat di mana data paling ditunggu-tunggu oleh pasaran setiap bulan akan dikeluarkan oleh Jabatan Buruh Amerika Syarikat. Data Non-Farm Payroll (NFP) merupakan data penting yang perlu diteliti oleh pelabur kerana ia menggambarkan tentang prestasi semasa ekonomi terbesar dunia Amerika Syarikat.

Berikut adalah lima catalyst utama yang bakal menjadi
perhatian para pelabur sepanjang minggu ini.

1. Pasaran Saham China Menjunam

Indeks CSI 300 menjunam sehingga 9% pada pembukaan pasaran hari Isnin (3 Februari 2020) walaupun kerajaan China telah mengumumkan suntikan sebanyak 150 billion yuan ke dalam pasaran kewangannya.

China bercuti selama seminggu sempena perayaan Tahun Baru Cina dan dilanjutkan berikutan jangkitan koronavirus yang semakin merebak di negara itu. Setakat ini jumlah kematian yang dicatatkan adalah 360 orang dengan kes jangkitan mencecah 17,000 setakat pada hari Isnin.

Kejatuhan pasaran saham China mengheret saham Asia ke paras terendah yang pernah dicapai dua bulan lalu. Tetapi penganalisa pasaran yakin kerugian itu akan beransur pulih kerana ia sebenarnya hasil daripada kebimbangan pelabur sepanjang minggu lalu di mana pasaran China ditutup. Ia sejajar dengan apa yang dapat dilihat di pasaran hadapan sepanjang dalam tempoh penutupan tersebut.

Walaubagaimanapun, sentimen kekal negatif apabila kes terbaru koronavirus meningkat saban hari. Indeks Nikkei 225 di Jepun jatuh sebanyak 1% pada hari Isnin dengan penanda aras di Australia turut susut 1.3%. Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) di Malaysia pula jatuh 0.60%, manakala Indeks Komposit di Indonesia jatuh 0.94%.

2. Impak Koronavirus Terhadap Ekonomi Global

China adalah ekonomi kedua terbesar dunia dan dianggap
sebagai enjin pertumbuhan ekonomi global. Peranannya adalah amat penting dalam
rantaian bekalan global yang bermaksud koronavirus yang merebak ketika ini
tidak hanya dirasai kesan buruknya oleh negara China sendiri, malahan
negara-negara sekitar di Asia dan seterusnya dunia.

Bagi ekonomi yang banyak bergantung kepada China, kesan buruk
dapat dilihat kepada kejatuhan nilai matawang mereka khususnya Australia. Dolar
Australia telah jatuh sebanyak 5% pada bulan Januari yang terburuk sejak tahun
2016.

Penganalisa ekonomi bimbang impak yang dibawa oleh
koronavirus lebih besar berbanding wabak SARS pada tahun 2003 yang membunuh
sejumlah 800 orang. Disebabkan SARS, ekonomi dunia kerugian sebanyak US$33
billion dan kebimbangan pasaran adalah rasional dengan kapasiti ekonomi China
yang kini semakin besar berbanding 17 tahun yang lalu.

3. NFP, Data Utama Minggu Ini

Data NFP  Amerika Syarikat akan dikeluarkan pada hari Jumaat (7 Februari 2020) pukul 9.30 malam waktu Malaysia. Pelabur akan memberikan perhatian kepada data NFP bulan Januari 2020 selepas penetapan dasar Federal Reserve pada minggu lalu yang menyaksikan kadar faedah dikekalkan.

Sebagai sebuah negara yang banyak bergantung kepada
perbelanjaan pengguna, keadaan pasaran buruh dan kadar gaji mereka memberi
kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi.
Jika lebih banyak penduduk bekerja dan gaji pula
meningkat, sudah tentu ekonomi menjadi lebih rancak kerana permintaan yang
kukuh di negara tersebut.

Fokus utama pada minggu ini sudah tentu kepada perubahan
jumlah pekerjaan, lebih-lebih lagi data sebelum ini mencatat bacaan lebih
rendah berbanding jangkaan. Amerika Syarikat dijangka mencatat tambahan
sebanyak 160,000 pekerjaan berbanding 145,000 pada bulan Disember 2019.

Satu lagi data penting adalah purata pendapatan per jam (Average
Hourly Earnings
) yang digunakan sebagai kayu ukur alternatif kepada keadaan
inflasi di Amerika Syarikat. Bacaan dijangka naik 0.3% berbanding 0.1% yang
dicatat bulan lalu.

4. Laporan Pendapatan Wall Street

Hampir 100 daripada syarikat yang didagangkan di dalam indeks
S&P 500 akan mengumumkan laporan pendapatan mereka pada minggu ini dengan
tumpuan terarah kepada syarikat Disney dalam indeks Dow Jones dan juga
Alphabet.

Laporan kewangan Disney pada suku keempat akan diumumkan pada hari Selasa (4 Februari 2020) yang akan menunjukkan maklumat lanjut jumlah pengguna Disney+ yang baru sahaja dilancarkan dua bulan lepas. Di samping itu, pelabur juga akan menumpukan impak terhadap Shanghai Disneyland yang ditutup pada akhir bulan lalu.

Alphabet syarikat induk Google menjadi tumpuan pada hari Selasa (4 Februari 2020) yang akan mengumumkan laporan kewangannya sekitar pukul 6 pagi waktu Malaysia. Penganalisa menjangka pendapatan setiap saham susut 2% kepada US$12.50 sesaham. Saham Alphabet naik 7% pada Januari melebihi keseluruhan pasaran selepas mencatatkan kenaikan sebanyak 19% pada tahun 2019.

5. Tekanan Dalam Isu Brexit

Matawang Pound Sterling turun sebanyak 1% berbanding Dolar AS pada hari Isnin (3 Februari 2020) akibat retorik yang kurang enak berkaitan Brexit dari London. United Kingdom secara rasminya keluar dari Kesatuan Eropah (EU) pada 31 Januari 2020 dan kini memasuki fasa peralihan selama setahun bagi kedua-dua pihak membincangkan hubungan di masa hadapan.

Perdana Menteri Boris Johnson berkata dalam ucapannya bahawa
dia lebih rela menerima tarif berbanding negaranya kekal dalam pengadilan
Mahkamah Eropah. Ia sekaligus mencetuskan risiko kepada hubungan dua pihak
khususnya dalam terma perdagangan dua hala.

Tempoh peralihan yang bermula 1 Februari hingga hujung tahun ini adalah tempoh masa yang akan digunakan bagi membincangkan dan mencapai perjanjian tentang hubungan dua hala selepas Brexit. Dalam tempoh peralihan ini sebenarnya, UK masih lagi mendapat keistimewaan yang sama seperti negara dalam EU walaupun ia telah keluar secara rasmi pada 31 Januari yang lalu.

Oleh kerana itu, UK perlu sedaya upaya mendapatkan perjanjian perdagangan yang tidak merugikan mereka di masa hadapan bagi melindungi pasaran sedia ada yang banyak bergantung kepada negara-negara Eropah.

Sumber Rujukan:

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.



Source link