Artikel Terkini

Nak Elak Beri Hutang Kepada Kawan-Kawan? Kongsikan Kepada Mereka 5 Cara Ini


Semua orang nak lari daripada masalah hutang. Semua orang impikan beli kereta secara tunai, beli rumah secara tunai dan berbelanja sana sini tanpa memikirkan masalah tidak cukup duit.

Namun, hanya segelintir sahaja yang dikurniakan rezeki oleh Allah untuk capai impian tersebut. Bila kewangan terdesak, mula telefon atau mesej sana sini untuk berhutang demi meneruskan kelangsungan hidup. Anda pula berada di posisi tidak suka memberi hutang kepada sesiapa pun. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Nak tolong tapi masih nak elak beri hutang? Kongsikan 5 cara ini kepada mereka:-

1. Cadangkan Cara Jana Pendapatan Sampingan

Terdapat banyak cara untuk jana pendapatan sampingan selain makan gaji setiap bulan. Jika perbelanjaan bulanan tidak dikawal, maka berlakulah senario tidak cukup duit pada pertengahan atau hujung bulan.

Untuk dapatkan tunai cara cepat, anda boleh cadangkan kepada mereka pekerjaan seperti mengajar tuisyen, freelancer, dropship, e-hailing seperti GrabCar atau GrabFood, ambil upah menjahit, jual aiskrim, dan lain-lain supaya dapat menampung lebihan belanja diri dan keluarga.

Jika mereka tidak cukup modal untuk berniaga, anda boleh sedekahkan sedikit untuk menggembirakan hati mereka.

Baca: 10 Idea Menyeronokkan Untuk
Menjana Pendapatan Mengikut Personaliti

2. Bantu Nilai Tahap Kewangan

Anda juga boleh tolong menilai tahap kewangan seperti menyemak pendapatan dan perbelanjaan bulanan mereka. Boleh jadi mereka telah berbelanja melebihi kemampuan pendapatan kerana tidak ada pengurusan kewangan yang betul.

Khidmat nasihat Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK) boleh digunakan sekiranya mereka ingin buat debt consolidation, reschedule atau restructure pinjaman yang pernah dibuat untuk mengelakkan nama mereka disenarai hitamkan atau diisytiharkan bankrap.

Baca: AKPK : Penyelamat Yang Ditakuti

3. Berikan Duit Sebagai Hibah (Hadiah)

Ya, hadiahkan sahaja duit kepada mereka. Contohnya
hadiahkan duit sempena sambutan hari lahir atau sambutan hari raya. Sudah tentu
mereka sangat hargai pemberian tersebut malah anda pun tak terkejar-kejar nak
kutip balik hutang kerana tiada hutang diberikan kepada mereka. Ia juga boleh
menjadi asbab untuk Allah gandakan lagi rezeki anda kerana anda telah memudahkan
urusan mereka.

4. Jual Atau Gadai Barang Berharga Yang Ada

Jual atau gadai sahaja barang berharga seperti cincin emas, gelang emas, kereta dan motor yang dimiliki oleh mereka merupakan salah satu cara untuk dapatkan duit secara pantas.

Anda boleh tolong mereka pilih barang berharga mana yang perlu dan tak perlu digadai/dijual. Platform online seperti mudah.my, eBay, Facebook marketplace dapat digunakan untuk mencari pembeli barang-barang tersebut.

5. Buat Tabung Kecemasan Secepat Mungkin

Jangan sesekali minta mereka buat pinjaman peribadi dengan bank atau pinjaman wang tidak berlesen kerana dengan cara tersebut lebih menambahkan derita kepada mereka.

Tetapi ajar lah mereka membuat tabung kecemasan di tempat yang selamat seperti Tabung Haji secepat mungkin. Sekiranya musibah yang sama berlaku pada kemudian hari, mereka dapat tangani situasi tersebut dengan baik.

Baca:
Dana Kecemasan: Kenapa Anda Perlukannya Sekarang, Dan
Bagaimana Untuk Membinanya

Sumber Rujukan:

  1. https://www.moneycrashers.com/refuse-lending-money-family-friends/
  2. https://www.imoney.my/articles/how-to-say-no-to-lending-money-to-family-and-friends
  3. https://freefrombroke.com/lending-money-to-friends-family-saying-no/
  4. https://www.sinarharian.com.my/article/52598/SISIPAN/Sinar-Islam/Roh-tergantung-jika-hutang-tidak-dibayar

Ditulis oleh Wan Mohamad Farhan bin Ab Rahman. Beliau boleh dihubungi melalui emel [email protected]



Source link