Artikel Terkini

Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN)


Seperti yang korang sedia maklum, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau PRIHATIN.

Banyak manfaat yang diperkenalkan.

No one is left behind. Tok suka.

Tok ada senaraikan beberapa manfaat yang mungkin membantu korang. Jemput hadamkan laju-laju.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau PRIHATIN berjumlah RM250 bilion yang akan memberi manfaat kepada semua orang.

Daripada jumlah ini, hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara.

Manakala sebanyak RM20 bilion telah diumumkan dalam pakej rangsangan sebelum ini. Pakej PRIHATIN ini akan menyediakan bantuan segera untuk meringankan beban yang ditanggung oleh semua. No one will be left behind.

Antara manfaat kewangan yang menarik dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat adalah :

Manfaat takaful

#1 RM300 untuk kos ujian penyaringan COVID-19

Selain itu, bagi menyokong usaha KKM untuk menjalankan lebih banyak ujian COVID-19, pihak industri insurans dan takaful akan mewujudkan dana khas berjumlah RM8 juta untuk menanggung kos ujian penyaringan yang bernilai sehingga RM300 bagi setiap pemegang polisi dan sijil takaful perubatan yang diarahkan oleh KKM untuk menjalani ujian di hospital swasta atau makmal swasta.

#2 Penangguhan bayaran premium insurans/takaful selama 3 bulan

Di samping itu, syarikat insurans dan takaful keluarga akan menawarkan penangguhan pembayaran premium atau sumbangan untuk tiga bulan bagi pencarum yang sumber pendapatan mereka terjejas akibat wabak ini.

Pemberian Tunai One-Off kepada kumpulan M40

Untuk meringankan beban mereka yang terjejas dalam pendapatan, kerajaan akan menyediakan Bantuan Prihatin Nasional, iaitu pemberian tunai secara one-off dengan peruntukan hampir RM10 bilion, dan buat pertama kalinya akan disalurkan juga kepada kumpulan M40.

Mereka ini termasuk pekerja swasta, peneroka FELDA, petani, nelayan, peniaga kecil dan semua yang tergolong dalam kumpulan M40 dan ke bawah.

Jumlah bayaran yang akan dibuat ialah:

  • Pertama: RM1,600 kepada hampir 4 juta isi rumah yang berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah. Bayaran RM1,000 akan dibayar pada bulan April 2020 dan RM600 pada bulan Mei 2020.
  • Kedua: RM1,000 kepada hampir 1.1 juta isi rumah yang berpendapatan lebih RM4,000 hingga RM8,000 yang akan dibayar pada bulan April 2020 sebanyak RM500 dan baki RM500 pada bulan Mei.
  • Ketiga: RM800 kepada 3 juta individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah. Bayaran RM500 akan dibayar pada bulan April 2020 dan baki RM300 pada bulan Mei 2020.
  • Keempat: RM500 kepada 400,000 individu bujang berusia 21 tahun ke atas yang berpendapatan bulanan lebih RM2,000 hingga RM4,000. Bayaran sebanyak RM250 akan dibuat pada bulan April 2020 dan baki RM250 pada bulan Mei.

Di samping itu, baki pemberian tunai di bawah program Bantuan Sara Hidup (BSH) yang sedang dilaksanakan akan dibayar pada bulan Julai 2020 melibatkan peruntukan sebanyak RM3.2 bilion.

Bantuan kewangan one-off kepada pelajar

Pelajar institusi pengajian tinggi akan menerima bantuan secara one-off sebanyak RM200 seorang yang akan dibayar pada bulan Mei 2020.

Bantuan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM270 juta kepada pelajar di pelbagai peringkat pengajian tinggi termasuk matrikulasi, Kolej Komuniti, Politeknik, IPTA dan IPTS.

Penangguhan bayaran balik Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran atau PTPK selama 6 bulan

Sebelum ini, Kerajaan telah bersetuju untuk menangguhkan bayaran balik PTPTN kepada semua peminjam selama 6 bulan melibatkan kutipan sebanyak RM750 juta.

Kerajaan bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman untuk tempoh yang sama kepada peminjam Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran atau PTPK mulai 1 April 2020 hingga 30 September 2020, dengan anggaran kutipan sebanyak RM149.2 juta. Inisiatif ini akan memanfaatkan seramai 174,500 orang peminjam.

Manfaat RM50 sehari untuk yang positif COVID-19

Pada masa ini, mySalam menyediakan manfaat kepada golongan B40 yang dimasukkan ke hospital kerana jangkitan COVID-19.

Pesakit boleh menuntut bayaran penggantian pendapatan sebanyak RM50 sehari untuk tempoh maksimum 14 hari. Sebagai tambahan kepada inisiatif ini, Kerajaan akan memanjangkan manfaat ini kepada golongan B40 yang dikuarantin sebagai pesakit di bawah siasatan (PUI).

Pengeluaran pra-persaraan dari akaun B Skim Persaraan Swasta

Kerajaan membenarkan pengeluaran pra-persaraan dari akaun B Skim Persaraan Swasta sehingga jumlah RM1,500 bagi setiap ahli tanpa sebarang penalti cukai dalam tempoh bulan April hingga Disember 2020.

Pengecualian sewa bagi Projek Perumahan Rakyat dan Perumahan Awam selama 6 bulan

Kerajaan akan memanjangkan pengecualian pembayaran sewa bagi PPR daripada sebulan yang diumumkan sebelum ini kepada enam bulan dengan jumlah kos sebanyak RM3 juta ditanggung oleh kerajaan.

Pengecualian pembayaran sewa ini melibatkan 3,636 unit rumah PPR disewa atau transit di bawah pengurusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Bagi unit sewa untuk milik pula, penangguhan pembayaran bulanan diberikan selama enam bulan bagi pembayaran balik pembiayaan bermula bulan April hingga September 2020. Penangguhan pembayaran ini melibatkan kos RM5.7 juta bagi 4,649 unit rumah.

Manakala bagi Perumahan Awam pula, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan memberi pengecualian yang sama yang memanfaatkan lebih 40,000 penyewa.

Pengecualian sewa selama 6 bulan untuk premis milik Kerajaan Persekutuan

Kerajaan juga bersetuju memberikan pengecualian sewaan selama enam bulan untuk semua premis milik Kerajaan Persekutuan seperti kantin sekolah, taska, kafeteria, kedai serbaneka dan lain-lain. Ini termasuk semua premis milik agensi dan badan berkanun Kerajaan Persekutuan.

Manfaat internet percuma

Antara pakej khas yang akan ditawarkan ialah internet percuma kepada semua pelanggan dengan nilai RM600 juta bermula 1 April 2020 sehingga tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Keselamatan tamat.

Selain itu, tambahan RM400 juta akan dilaburkan untuk meningkatkan liputan dan keupayaan rangkaian bagi mengekalkan ketersediaan dan kualiti rangkaian telekomunikasi yang tinggi dan mampan.

Program Subsidi Upah RM600 sebulan

Kerajaan juga akan memperkenalkan Program Subsidi Upah untuk membantu majikan mengekalkan pekerja.

Menerusi program ini Kerajaan akan menyediakan upah sebanyak RM600 sebulan bagi setiap pekerja untuk tempoh tiga bulan.

Program ini dikhususkan kepada pekerja yang berpendapatan di bawah RM4,000 dan majikan yang mengalami penurunan pendapatan lebih 50% sejak 1 Januari 2020.

Majikan mesti memastikan mereka tidak membuang pekerja atau mengarahkan mereka mengambil cuti tanpa gaji bagi tempoh tiga bulan selepas program ini dilaksanakan.

Selain itu, majikan juga tidak dibenarkan memotong gaji sedia ada perkerja.

Bantuan One-off RM500 kepada pemandu e-hailing

Bagi meringankan beban pemandu e-hailing, Kerajaan akan memberikan bantuan secara one-off sebanyak RM500 kepada 120,000 pemandu e-hailing dengan peruntukan sebanyak RM60 juta.

Dalam Pakej Rangsangan Ekonomi sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan pemandu teksi akan menerima bayaran one-off sebanyak RM600 mulai 1 April 2020.

P/S: Nak tahu lebih lanjut tentang moratarium COVID-19 yang ditawarkan? KLIK SINI DAN BACA SEKARANG.



Source link