Artikel Terkini

Pelan Pemulihan Ekonomi mesti mampu diperbaiki, diperhalusi secara berterusan – MOF



KUALA LUMPUR: Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek untuk tempoh Jun hingga Disember 2020 akan memfokuskan kepada empat ciri utama dan dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat.

Fokus ini termasuk ‘Tangkas & Dinamik’, pengutamaan kepada ‘Kerjasama Sektor Awam-Swasta’, ‘Komunikasi Menyeluruh & Capaian Meluas’ dan ‘Pendekatan Berdasarkan Data’.

Dalam Laporan Laksana Ketujuh Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan, Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek ini akan tetap tertumpu kepada tiga matlamat utama.

Ini termasuk ‘Memperkasakan Rakyat’, ‘Melonjakkan Perniagaan‘ dan ‘Merangsangkan Ekonomi’.

Mengulas mengenai fokus ‘Tangkas & Dinamik’, Tengku Zafrul menyatakan pelan berkenaan mesti mampu diperbaiki dan diperhalusi secara berterusan dan mengikut keperluan semasa.

Ini memandangkan situasi tidak menentu sepanjang tahun 2020.

Dalam masa yang sama, tegasnya rakyat dan sektor perniagaan di Malaysia haruslah meyakini pelan ini untuk bersama memainkan peranan masing-masing bagi menjana semula ekonomi Malaysia pasca COVID-19.

Tambahnya, Kerajaan akan memastikan komunikasi dilakukan secara berterusan dengan menambah, ketelusan dan keterbukaan penting dalam menjayakan usaha ini.

Tegasnya, Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek ini merupakan peluang negara untuk mengambil peluang baharu yang terhasil daripada krisis COVID-19 dalam pembangunan negara.

Pelan Pemulihan berkenaan akan diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin dalam masa terdekat.

Menurutnya lagi, Kementerian Kewangan telah mengadakan sesi libat urus bersama lebih 100 pihak berkepentingan termasuk sektor pelancongan, usahawan sosial, perkhidmatan professional, dan perladangan dalam melihat kesan COVID-19 kepada ekonomi negara.





Source link

Related Posts