Uncategorized

Penerbangan pertama Qingdao Airlines mendarat di Pulau Pinang



GEORGE TOWN: Penerbangan pertama Qingdao Airlines, China, yang menggunakan pesawat Airbus A320neo untuk laluan Changsha-Quanzhou-Pulau Pinang selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) pada jam 4.15 petang tadi dengan 42 penumpang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin berkata penerbangan sulung Qingdao Airlines ke Malaysia adalah bertepatan dengan ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Republik Rakyat China pada tahun ini.

Katanya, pesawat Changsha-Quanzhou-Pulau Pinang akan menjadi penerbangan normal berjadual iaitu setiap Selasa dan Sabtu, selepas ini.

“Laluan ini pasti akan mempromosikan dan meningkatkan pelancongan serta pertukaran budaya dan ekonomi antara kerajaan, perusahaan, rakyat, termasuk individu di antara China dan Malaysia,” katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.

Turut hadir dalam sidang akhbar itu ialah Pengurus Besar Bahagian Pemasaran Syarikat Penerbangan Malaysia Airports Holdings Mohamed Salluddin Mat Sah, Pengerusi Persatuan Pelancongan Cina Malaysia Datuk Albert Tan, Ketua Pegawai Eksekutif Pos Aviation Sdn Bhd Woo Kam Weng dan Timbalan Pengurus Besar Qingdao Airlines Liang Zheng.

Sementara itu, menurut Liang, Qingdao Airlines mahu memulakan lebih banyak penerbangan langsung membabitkan Pulau Pinang dan bandar-bandar lain di China seperti Qingdao, Nanjing, Tianjin dan Nanzhou.

“Kami belum lagi mempunyai jangkaan bila kesemua penerbangan ini boleh diperkenalkan, tetapi kami berharap ia boleh dimulakan secepat mungkin, dengan bantuan daripada kerajaan Pulau Pinang,” tambahnya.

— BERNAMA





Source link

Related Posts