Artikel Terkini

Rugi RM2.4 Bilion Sehari, Dilema Di Antara Isu Kesihatan Atau Ekonomi Negara?


Sejak pengumuman Perdana Menteri pada Hari Pekerja tentang pelaksanaan minggu ke-4 PKP, hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat dan SOP ditetapkan kerajaan.

Restoran boleh dibuka dan pelanggan boleh duduk dan makan di luar satu meja, orang ramai dah boleh jogging, dah boleh main golf, boleh ke pasaraya atau klinik, menaiki kenderaan seramai 4 orang dan bermacam-macam lagi.

Ada yang menyokong dan ada juga yang mengecam dengan tindakan kerajaan ini.

Negara Rugi Besar

Tahukah anda, di sebalik kelonggaran tersebut adalah untuk kepentingan ekonomi negara yang kini sedang mengalami kerugian hampir 2.4 bilion sehari? Sejak 18 Mac lalu, jumlah kerugian yang dialami adalah sebanyak 63 bilion.

Jika PKP terpaksa diteruskan, kerugian yang terpaksa ditanggung kerajaan adalah sebanyak 35 bilion. Ini menjadikan jumlah kerugian sebanyak 98 bilion, hampir 100 bilion!

Dalam masa yang sama, kerisauan juga timbul kerana negara kita belum pulih sepenuhnya daripada wabak Covid-19 ini. Walaupun graf menunjukkan hampir mendatar dan kes yang dilaporkan setiap hari berkurangan dan lebih ramai pesakit sudah sembuh, ia masih tidak selamat kerana sehingga hari ini masih belum ada ubat atau antiirus bagi wabak ini.

Sudah sembuh pun perlu pemantauan yang rapi adakah kebarangkalian virus ini boleh kembali?

Bila PKP Dilonggarkan, Kes Kembali Meningkat

Kita ambil pengajaran dari Pulau Utara Jepun iaitu Hokkaido. Selepas menamatkan perintah berkurung tiga minggu selepas kes jangkitan sudah menurun kepada satu angka, gelombang kedua mencatatkan 135 kes jangkitan Covid-19 dalam tempoh seminggu. Mereka menamatkan perintah berkurung pada 19 Mac lalu selepas membenarkan perniagaan dan sekolah beroperasi dan kini mengisytiharkan darurat kecemasan.

Dr Kiyoshi Nagase yang merupakan pengerusi Pertubuhan Perubatan Hokkaido menyesal dengan menamatkan perintah berkurung terlalu awal.

Manakala di Ontario, Kanada turut menunjukkan penurunan kes selama 3 hari dan kemudiannya meningkat mendadak dengan 525 kes baharu dan 59 kematian selepas 24 jam.

Paling kita perlu berjaga-jaga adalah kes sporadik di mana seseorang itu tiada perjalanan keluar negara mahu pun kontak dengan bekas pesakit. Ia boleh dijangkiti mungkin ketika kita sedang berada di luar, orang awam batuk atau bersin dan terkena di bahagian wajah atau tangan dan kita tidak menggunakan hand sanitizer atau membasuh tangan selepas itu.

Lagi Lama Perniagaan Ditutup, Ekonomi Semakin Merudum

Pihak kerajaan pula kelihatan runsing dengan keadaan ekonomi yang semakin meruncing dan mengalami kerugian setiap hari. Dalam tempoh sebulan, kita sendiri dapat lihat banyak hotel terkemuka ingin dan sudah menutup perniagaan mereka, ada juga yang diberhentikan kerja atau dipotong gaji.

Selain daripada sektor perhotelan, sektor penerbangan dan pelancongan amat terkesan dengan keadaan ini. Perniagaan yang mempunyai premis juga turut terkesan.

Bank juga terkesan, walaupun pada mulanya faedah automatik moratorium 6 bulan tidak perlu dibayar, kini dalam tempoh sebulan kenyataan itu ditarik semula bagi mengelakkan bank daripada mengalami kerugian.

Inilah ‘Normal Baharu’ yang perlu kita hadapi sekarang. Perniagaan perlu dibuka semula, orang ramai perlu kembali bekerja. Namun ada had yang perlu dipatuhi seperti mengamalkan jarak 1 meter, tidak boleh menyentuh di antara satu sama lain, tidak boleh bersalaman, kena bawa hand sanitizer ke mana saja, dan perlu memakai topeng muka setiap masa di luar rumah.

Persoalannya di sini, bersediakah kita untuk segala kemungkinan?

Adakah ianya seumpama kita sudah bersorak menang walaupun perlawanan belum lagi berakhir?

Kita sedang berhadapan dengan musuh kecil yang kita tidak nampak, namun sangat memberi kesan kepada semua orang di seluruh dunia.

Artikel ditulis oleh Puan Sarah Hata. Penulis merupakan seorang konsultan kewangan di sebuah institusi kewangan di Malaysia dan juga perunding imej. Mempunyai pengalaman menulis, memberi ceramah di beberapa syarikat seluruh Malaysia dan juga klien individu

Sumber Rujukan:



Source link