Artikel Terkini

Sekatan Top Glove: MITI bincang bersama Kedutaan AS – Azmin



BATU BERENDAM: Kerajaan sedang mengadakan rundingan dengan Kedutaan Amerika Syarikat di ibu negara berhubung sekatan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) negara itu terhadap produk keluaran anak syarikat Top Glove Corp Bhd dari Malaysia.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tindakan AS menyekat eksport produk berkenaan adalah tidak wajar memandangkan  syarikat bertaraf antarabangsa itu telah menyalur bantuan besar ketika dunia berperang dengan pandemik COVID-19.
 
Beliau berkata, rundingan itu juga bagi memastikan industri sarung tangan pakai buang itu tidak terjejas lebih-lebih lagi pada fasa pasca pandemik COVID-19 ini.

“Kita berharap pentadbiran AS dapat memberikan keadilan kepada syarikat bertaraf antarabangsa ini yang telah memberikan bantuan yang besar ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.

“Oleh sebab itu, kerajaan melalui MITI telah memberi kebenaran kepada syarikat yang mengeluarkan produk perkhidmatan dan peralatan perubatan ini untuk beroperasi sepenuhnya ketika PKP kerana permintaan tinggi di seluruh dunia selain memastikan kita dapat menangani penularan COVID-19.

“Namun jika terdapat isu tertentu, pastinya kita akan berbincang dan cuba meyakinkan pihak berkuasa bahawa Top Glove perlu diberi kebenaran untuk meneruskan operasi dan mengeksport produk mereka ke pasaran AS,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke kilang Texas Instruments Electronics Malaysia, di Batu Berendam, Melaka pada Sabtu.

Mengulas lanjut ujarnya, Top Glove juga sedang berurusan dengan pihak Kastam Amerika Syarikat bagi memperjelaskan dakwaan berhubung isu buruh paksa yang dilontarkan sehingga memgakibatkan syarikat antarabangsa itu diletakkan dalam senarai sekatan.
 
Terdahulu, berdasarkan laman web rasmi CBP AS, dua anak syarikat Top Glove iaitu Top Glove Sdn Bhd dan TG Medical Sdn Bhd telah diletakkan dalam senarai sekatan.

Walaupun tiada sebab dinyatakan, tindakan itu dipercayai berpunca daripada dakwaan bahawa Top Glove menggunakan khidmat buruh paksa.





Source link

Related Posts