Uncategorized

Sentimen Semasa & Empat Tumpuan Utama Pasaran Global Pada Minggu Ini (1 – 5 April 2019)

Sentimen Semasa & Empat Tumpuan Utama Pasaran Global Pada Minggu Ini (1 – 5 April 2019) 1


Sentimen pasaran yang semakin pulih telah menyokong kenaikan semula pasaran saham Amerika Syarikat (AS) pada lewat dagangan minggu lalu (30 Mac 2019). Ia sekaligus telah membantu dalam kenaikan Hasil-Bon jangka panjang AS disebabkan pengurangan permintaan terhadap aset safe-haven tersebut.

Pasaran Wall Street merudum pada Jumaat (22 Mac 2019) disebabkan kebimbangan pasaran terhadap penyongsangan Hasil-Bon 10 tahun AS dan bon 3-bulan AS di mana perbezaan kedua-dua bon tersebut menjadi negatif. Ia menunjukkan peralihan pelabur kepada aset selamat di mana terdapat jangkaan penurunan kadar faedah di masa hadapan terhadap bon 10-tahun AS.

Dow Jones Industrial Average (DJIA) mencatat kenaikan 0.82% dengan naik 211 mata, manakala dua lagi indeks utama Wall Street, S&P500 dan Nasdaq masing-masing naik 0.67% dan 0.78%. Sebelum itu, pasaran Asia yang ditutup lebih awal telah menunjukkan prestasi positif dengan lautan biru dalam indeks-indeks utama sehingga ke benua Eropah. FBMKLCI penanda aras pasaran saham Malaysia pula merekodkan kenaikan sebanyak 0.14%.

Penanda aras saham global pula merekodkan kenaikan 0.64% pada Jumaat (30 Mac 2019) menggambarkan pemulihan keseluruhan ekuiti global. Indeks MSCI yang mengukur prestasi saham global juga mencatat prestasi terbaik suku-tahunan sejak 2010 dengan kenaikan sebanyak 11.6%.

Di antara pemangkin kepada kenaikan ini juga adalah perkembangan positif rundingan AS-China yang berakhir pada hari Jumaat. Wakil AS menganggap rundingan kali ini lebih konstruktif dalam usaha menyelesaikan pertikaian perang dagang yang telah berlangsung sejak Jun 2018. Rundingan akan diteruskan lagi di Washington pada minggu ini.

Perkembangan terbaru dalam politik Britain pula menunjukkan Parlimen UK sekali lagi menolak usul perjanjian Brexit buat kali ketiga dengan undian 344 kepada 286 pada Jumaat. Keputusan ini bermaksud UK akan meninggalkan blok Kesatuan Eropah (EU) pada 12 April tanpa sebarang perjanjian selagi tiada rundingan baru di antara kedua-dua pihak.

Dengan perkembangan terbaru sepanjang minggu lalu, pasaran dijangka akan terus dicorakkan oleh faktor politik global terutamanya AS-China dan Brexit. Tidak lupa juga, fokus akan tertumpu kepada data-data ekonomi Amerika Syarikat terutamanya laporan NFP (Non-Farm Payroll) yang bakal diumumkan pada hari Jumaat (5 April 2019). Berikut adalah beberapa perkara penting yang akan menjadi perhatian pasaran saham global sepanjang minggu ini.

1. Keadaan Semasa Pasaran Bon Amerika Syarikat

Sentimen Semasa & Empat Tumpuan Utama Pasaran Global Pada Minggu Ini (1 – 5 April 2019) 2

Pasaran bon AS mengejutkan pasaran apabila buat pertama kali berlakunya penyongsangan keluk-hasil (Yield-curve) antara bon 10-tahun dan 3-bulan. Inverted yield-curve (Keluk hasil-bon yang terbalik) menunjukkan situasi di mana hasil pulangan bon jangka pendek adalah lebih tinggi daripada hasil pulangan bon jangka panjang. Hal ini hanya berlaku beberapa kali sahaja dalam sejarah kewangan dunia dan sering diikuti dengan kemelesetan ekonomi.

Hal ini terjadi apabila pelabur tertumpu kepada pasaran bon yang menyebabkan hasil-bon (bond-yield) jatuh secara mendadak disebabkan permintaan yang tinggi kepada bon jangka panjang. Ia dilihat sebagai langkah untuk mendapatkan bon pada kadar semasa yang dilihat mungkin akan menurun di masa hadapan. Ini juga bermakna, pasaran mula menyerap (price-in) kemungkinan untuk Federal Reserve (Bank Pusat Amerika Syarikat) menurunkan kadar faedah.

2. Drama Brexit Selepas Penolakan Usul Kerajaan Buat Kali Ketiga

Sentimen Semasa & Empat Tumpuan Utama Pasaran Global Pada Minggu Ini (1 – 5 April 2019) 3

Perdana Menteri Theresa May jelas kecewa dalam ucapannya selepas undian ketiga tersebut dan mengatakan UK berkemungkinan meninggalkan EU pada 12 April. Ketua Pembangkang Jeremy Corbyn pula menggesa May meletakkan jawatan dan juga agar pilihanraya umum diadakan bagi mencari penyelesaian isu Brexit.

Donald Tusk, Pemimpin Tertinggi Suruhanjaya Eropah pula dilaporkan telah memanggil mesyuarat Majlis Eropah pada 10 April dan menggesa UK membentangkan perancangan baru perjanjian Brexit sebelum 13 April. Dalam masa yang sama, Tusk berpendapat UK berkemungkinan besar keluar daripada EU tanpa sebarang perjanjian dan EU sedang bersedia untuk perkara ini.

Walaubagaimanapun, kerajaan UK dijangka akan cuba mengelak daripada Brexit seawal 12 April dan akan cuba mendapatkan penangguhan lebih lama walaupun Britain terpaksa bertanding dalam Pilihanraya Eropah. Penangguhan daripada tarikh Brexit pula memerlukan persetujuan daripada 27 negara ahli EU.

3. Data Ekonomi Penting AS, NFP (Non-Farm Payroll)

Sentimen Semasa & Empat Tumpuan Utama Pasaran Global Pada Minggu Ini (1 – 5 April 2019) 4

Wall Street akan memberikan perhatian kepada data ekonomi minggu ini selepas laporan pekerjaan bulan Februari yang mengecewakan dan amaran kelembapan ekonomi oleh pasaran bon Amerika Syarikat. Pakar ekonomi berpendapat pasaran ketika ini dijangka begitu sensitif kepada data ekonomi, di mana data pada minggu ini akan menambah bukti jelas tentang momentum semasa ekonomi AS.

Fokus utama pada minggu ini sudah tentu kepada data pekerjaan NFP, lebih-lebih lagi data sebelum ini mencatat bacaan yang jauh daripada jangkaan. Amerika Syarikat hanya merekodkan tambahan sebanyak 20,000 pekerjaan pada bulan Februari berbanding 301,000 pada bulan sebelum itu yang mana jauh mengatasi jangkaan iaitu 180,000.

Data ini akan dikeluarkan pada Jumaat (5 April 2019) pada pukul 8.30 malam. Di antara yang menjadi perhatian pasaran juga adalah beberapa data ekonomi lain seperti, data jualan runcit (retail-sales), indeks aktiviti sektor pembuatan, dan data tempahan barangan tahan lama (durable-goods).

4. Rundingan Perdagangan AS-China di Washington

Sentimen Semasa & Empat Tumpuan Utama Pasaran Global Pada Minggu Ini (1 – 5 April 2019) 5

Sebulan telah berlalu sejak tarikh akhir yang perlu dipersetujui AS-China dalam rundingan perdagangan. Selepas rundingan di Beijing berakhir pada Jumaat, rundingan seterusnya akan diadakan pada minggu ini di Washington.

Laporan menunjukkan kedua-dua pihak berusaha untuk mencapai perjanjian bagi mengurangkan pertikaian dan risiko perang perdagangan yang lebih besar. Di antara yang menjadi fokus penting AS adalah pendekatan yang digunakan oleh China terhadap harta-intelek mereka dan permintaan untuk China membuka pasarannya dengan lebih meluas.

Dalam perkembangan yang sama, penasihat ekonomi White House, Larry Kudlow berkata AS mungkin akan membatalkan tarif bagi sesetengah barangan China.

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Sentimen Semasa & Empat Tumpuan Utama Pasaran Global Pada Minggu Ini (1 – 5 April 2019) 6

Komen

komen





Source link