Artikel Terkini

Slot program TV Pendidikan kini di saluran Tutor TV Astro



KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) dan Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) bakal bekerjasama dalam menyiarkan slot program TV Pendidikan di saluran Tutor TV Astro.

Menerusi kenyataan pada Ahad, KPM berkata kerjasama ini merupakan tambahan kepada siaran slot TV Pendidikan yang kini bersiaran di saluran TV Okey, Radio Televisyen Malaysia (RTM) bermula 6 April lalu.

“Inisiatif ini adalah untuk meningkatkan akses murid kepada bahan pembelajaran melalui platform alternatif selain daripada pembelajaran dalam talian.

“Pendekatan ini akan dapat membantu murid yang tidak mendapat capaian internet mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dari rumah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pasca PKP,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, KPM berkata slot TV Pendidikan di saluran Tutor TV Astro akan mula bersiaran pada 4 Mei 2020.

“Program ini akan disiarkan selama dua jam pada setiap Isnin hingga Jumaat.

“Sementara itu, waktu siaran adalah pada pukul 10.00 pagi hingga 11.00 pagi menerusi saluran 601 dan pada pukul 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari menerusi saluran 603,” katanya.

Bagi mereka yang terlepas, katanya, rancangan berkenaan akan diulang siar pada pukul 3.00 petang hingga 4.00 petang di saluran 601 dan pukul 4.00 petang hingga 5.00 petang di saluran 603 pada hari yang sama.

“KPM yakin bahawa slot program TV Pendidikan melalui kerjasama dengan Astro ini akan memberi manfaat kepada murid, guru dan ibu bapa bagi membolehkan proses PdP dilaksanakan dengan lebih meluas, terutamanya dalam keadaan yang mencabar pada masa ini,” tambah kenyataan itu.

Selain itu, program ini juga dapat ditonton secara percuma pada bila-bila masa menerusi aplikasi Astro GO yang boleh dimuat turun menggunakan peranti dengan sistem pengoperasian Android dan iOS.

Jadual rancangan boleh didapati dengan melayari portal rasmi KPM di www.moe.gov.my atau di media sosial rasmi KPM iaitu Facebook, Instagram dan Twitter @KemPendidikan.





Source link