Artikel Terkini

Tak Mudah Hasilkan Dapur Konsep Industri


Bagi pasangan Encik Sofian dan Puan Azura, memiliki kediaman yang berkonsepkan industri memang menjadi idaman. Namun apakan daya, tinggal dikediaman pusaka yang ditinggalkan oleh arwah ayah sambil merawat bonda mempunyai sedikit keterbatasan.

Namun, apabila si ibu sepakat memberi privacy kepada anak membina keluarganya sendiri, ruang hadapan rumah induk yang dulunya menjadi serambi diserahkan kepada si anak. ” Dulunya ruang ini menjadi ruang berkumpul terutamanya jika ada kenduri. Dari ruang serambi yang luas, kami bahagikan ia menjadi tiga buah bilik bersama ruang tamu,” jelas pemilik memulakan bicara.

INFO DAPUR
Nama Pemilik: Encik Sofian & Puan Azura
Jenis Kediaman: Rumah kampung
Konsep Dapur: Industrial
Lokasi: Port Disckson

Tidak lengkap sebuah kediaman itu tanpa jantungnya iaitu ruang dapur. Memandangkan ruang serambi telah dipenuhi dengan bilik tidur dan ruang tamu, pemilik mengambil keputusan untuk membina struktur baru yang dijadikan sebagai dapur, bilik air, dan ruang simpanan.

“Memandangkan saya suka mengumpul barangan antik dan isteri pula gemar akan konsep industri, kedua-duanya sangat sepadan. Jadi, saya mengambil keputusan untuk membina struktur dapur ini dari batu bata dan kemasan cement render,” terang pemilik.

Struktur kayu asal dari serambi masih dikekalkan bagi menjadikan ia sebagai salah satu titik tumpu yang unik di ruang dapur ini. Lebih berseri dan memberi impak yang menyeluruh, lakaran air tangan si isteri yang berkonsepkan tropika di lakar indah pada fasad kayu serambi.

Lantai ruang makan ini tidak di beri kemasan cement render kerana ia sukar dijaga tambahan kurang selesa untuk dipijiak. Oleh itu, pemilik lebih yakin dengan pemilihan jubin yang mempunyai corak cement render. Ia mengurangkan beban si isteri untuk melakukan penyelengaraan. Mudah dilap dan disapu

“Berbeza dengan breakfast counter, saya lebih selesa memilih kemasan jubin untuk ruang yang digunakan secara lasak. Ini disebabkan permukaan cement render ini agak sensitif dan sukar untuk dijaga. Jika digunakan secara lasak dan kerap, mudah retak. Apabila berlaku retakkan walaupun kecil, kotoran mudah melekat dan sukar untuk di cuci,” perinci pemilik memahami risiko penggunaan kemasan cement render sebagai counter top.

Selain penggunaan kaunter sarapan sebagai pemisah penggunaan ruang, pemilik turut memadankan jubin bercorak geomatrik pada lantai. Ia bukan sahaja menjadi pemisah secara visual malah memberi percikan rona menceriakan dapur yang ratanya didominasi rona kelabu.

Keseluruhan struktur kabinet dapur menggunkan kayu keras dan diberi kemasan laminate fomica. Tidak mahu terlalu padat, hanya satu ruang dinding sahaja di sediakan kabinet dapur bahagian atas. Ia dibina penuh hingga ke siling bagi mengelak menjadi perangkap habuk. Tampil lebih kemas, pintu kabinet menggunkan sistem concealed finger pull untuk dibuka.

Menyerlahkan lagi konsep industri yang di bawa, Pemilik memilih padanan kaki lampu dan kipas rona hitam. Tidak cukup itu sahaja, pendawaian yang dibuat turut menggunakan paip PVC yang di cat dengan rona hitam mate bagi mengurangkan kos untuk membeli paip besi.

” Tidak mudah untuk menghasilkan rekaan industri ini. Jika tidak kena dengan orang yang mahir, hasilnya akan mengecewakan. Bukan sahaja untuk membentuk permukaan cement render yang cantik malah batu bata yang diikat perlukan kepakaran yang tinggi. Nasihat saya, sebelum melakukan sebarang pembinaan dekorasi berkonsepkan industri ini, pastikan kontraktor yang dilantik mempunyai kepakaran dan teliti dalam menghasilkan sesuatu hasil kerja,” pesan pemilik kepada pembaca Impiana.



Source link