Uncategorized

Thomas Cook yang muflis tidak beri kesan kepada pelancong Malaysia



KUALA LUMPUR: Kemuflisan syarikat pengurus pelancongan dan pengembaraan tertua di dunia, Thomas Cook dijangka tidak begitu memberi kesan kepada pelancong dari Malaysia memandangkan kurang daripada lima peratus ejen pelancongan di negara ini yang menggunakan khidmat syarikat itu.

Timbalan Presiden Persa-tuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Mohd Akil Yusof berkata daripada kira-kira 3,600 ejen pelancongan berdaftar di bawah persatuan berkenaan, hanya sebilangan kecil yang menggunakan khidmat Thomas Cook manakala yang lain sudah beralih kepada platform yang menawarkan khidmat lebih menarik.

“Antara lain ia turut disebabkan oleh terlalu banyak persaingan daripada Agensi Pengembaraan Dalam Talian di pasaran yang boleh menawarkan terma dan syarat yang lebih mudah,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Syarikat berusia 178 tahun yang mengendalikan hotel, kawasan peranginan dan syarikat penerbangan kepada 19 juta pelanggan setahun di 16 negara itu muflis, menyebabkan ratusan ribu pelancong di seluruh dunia terkandas dan mencetuskan usaha penghantaran balik terbesar dalam sejarah Britain.

Dilaporkan Thomas Cook menanggung beban hutang sebanyak 1.7 bilion pound (AS$2.1 bilion), selain persaingan dalam talian, perubahan pasaran pelancongan dan pengembaraan dan persekitaran geopolitik.

Mohd Akil berkata, pihaknya setakat ini juga masih belum menerima sebarang aduan daripada ejen atau ahli yang bernaung di bawah persatuan itu mengenai pembatalan atau pemansuhan pakej pelancongan yang ditawarkan oleh Thomas Cook.

“Jika ada ia mungkin hanya akan diketahui dalam tempoh seminggu hingga dua minggu terdekat ini,” katanya.

Mohd Akil berkata sekiranya aduan diterima, pihaknya akan menasihati syarikat ejen pelancongan yang terlibat untuk membuat tuntutan segera kepada likuidator yang dilantik memandangkan isu itu lebih bersifat komersial.

“MATTA hanya boleh memberi nasihat dan tunjuk ajar untuk ejen atau ahlinya cara yang betul untuk menghadapi masalah ini namun tidak boleh masuk campur secara terus menerusi kerana kontraknya adalah di antara syarikat ejen pelancongan (ahli MATTA) dengan Thomas Cook,” katanya.

— BERNAMA





Source link