Artikel Terkini

Tiada lagi fi untuk bayaran cek dan tunai bagi pembayaran balik kad kredit dan pembiayaan



KUALA LUMPUR: Bank-bank kini akan menghentikan mengenakan fi untuk bayaran cek dan tunai bagi pembayaran balik kad kredit dan pembiayaan di kaunter dan Mesin Deposit Tunai (CDM), menurut Persatuan Bank-Bank Di Malaysia (ABM).

“Pada masa ini, terdapat segmen pelanggan tertentu yang telah dikecualikan daripada caj ini, seperti untuk orang kurang upaya dan warga emas.

“Bagi pelanggan yang datang sendiri, terdapat alternatif yang mudah dan percuma untuk menjalankan urus niaga perbankan dan mendapatkan perkhidmatan seperti yang disediakan melalui mesin juruwang automatik (ATM),” menurut persatuan itu dalam kenyataan hari ini.

ABM berkata bank-bank anggotanya akan berkomunikasi dengan pelanggan melalui saluran komunikasi masing-masing, termasuk laman web bank.

Mereka turut bersedia untuk membantu pelanggan mereka memahami saluran alternatif ini atau sebarang pertanyaan berhubung perkara ini, katanya.

Awal minggu ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) mengkritik langkah yang membenarkan bank-bank untuk mengenakan caj 50 sen bagi penggunaan mesin deposit cek dan RM2 untuk urus niaga di kaunter, mulai bulan depan.

Sebagai respons kepada kritikan itu, ABM semalam berkata fi itu untuk mendorong pelanggan menggunakan platform perbankan dalam talian.

ABM mewakili 26 bank-bank perdagangan di negara ini.

— BERNAMA





Source link

Related Posts