Artikel Terkini

Untung bersih Bursa Malaysia melonjak kepada RM86.23 juta pada suku kedua



KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Bursa Malaysia Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2020 melonjak kepada RM86.23 juta daripada RM46.34 juta yang direkodkan pada suku sama 2019.

Perolehan meningkat kepada RM179.78 juta daripada RM123.96 juta bagi tempoh yang sama, menurut syarikat itu kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bagi separuh pertama berakhir 30 Jun, 2020 keuntungan bersih syarikat itu melonjak 62 peratus kepada RM151.0 juta daripada RM93.2 juta yang dicatatkan pada tempoh sama sebelumnya, didorong perolehan operasi lebih tinggi, yang meningkat 33.6 peratus kepada RM320.7 juta daripada RM240 juta.

“Sementara itu, perbelanjaan operasi keseluruhan pada separuh pertama 2020 naik 3.7 peratus kepada RM127.1 juta daripada RM122.6 juta pada separuh pertama 2019 berikutan kos tenaga kerja dan teknologi yang lebih tinggi. Ia merupakan prestasi kewangan bagi separuh tahun pertama yang tertinggi sejak penyenaraian pada 2005,” menurutnya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Muhamad Umar Swift berkata usaha berterusan untuk meningkatkan kerancakan pasaran dan mudah tunai memberi impak positif.

“Kami menyaksikan penyertaan runcit yang besar dan mencatatkan dagangan tertinggi dalam sejarah Bursa iaitu 12.5 bilion pada 20 Jun, 2020. Kemunculan golongan millennial dalam pasaran juga amat memberangsangkan dan keadaan itu menjadi sesuatu yang sememangnya kita berusaha mencapainya.

“Kami akan terus memperkenalkan inisiatif baharu dan memperkemas tawaran produk, seperti memperluas rangkaian saluran dan platform dagangan bagi meningkatkan kelancaran digital di Bursa Malaysia untuk generasi baharu pelabur,” katanya.

Beliau berkata Pulangan ke atas Ekuiti dan Pendapatan Sesaham tahunan masing-masing sebanyak 39 peratus dan 18.7 sen telah membolehkan lembaga pengarah mengumumkan dividen interim sebanyak 17.0 sen, yang tertinggi sejak disenaraikan pada 2005.





Source link

Related Posts