Artikel Terkini

Zaman sekarang.. beli kereta pun dalam talian!



SUATU masa dahulu, segala proses jualan dan pembelian berjalan secara berhadapan. Sekarang, semuanya mampu diuruskan dalam talian.

Sebulan berlalu bermacam rekod jualan dicatat melalui jualan dalam talian 11.11, kini tiba pula jualan hujung tahun  yang popular melalui sebutan 12.12 bertepatan dengan tarikh hari penjualan yang jatuh pada 12 Disember.

Bagi peminat jenama Korea Hyundai, kereta berprestasi tinggi ‘hot hatch’ 5-pintu i30 N menjadi tumpuan pembeli di Malaysia sempena jualan hujung tahun 12-12.

Apa yang menarik, hanya 20 unit i30 N ditawarkan di pasaran Malaysia melalui portal jualan Lazada. Ya, kereta pun ada….dibeli melalui Lazada!

Namun, mungkin ada sudah terlambat jika menunggu hari ini (12 Disember) untuk bertindak membeli kerana penawaran di bawah skim ‘Chup Dulu’ sudah berjalan sejak 2 Disember dan berakhir pada tengah malam 11 Disember.

Pembeli dibawah skim ‘Chup Dulu’ hanya membayar separuh dari bayaran cengkeram sebanyak RM2,000 melalui pasaran dalam talian Lazada sementara baki 50 peratus lagi dibayar antara 12 hingga 14 Disember.

Selepas dilunas bayaran seterusnya (i30 N berharga RM298,888 – atas jalan tidak termasuk insuran); pembeli yang sah layak menyertai lawatan eksklusif ke Korea dan mengambil bahagian dalam sesi pandu-uji di litar Namyang, 40km dari Seoul.

Apakah ciri menarik i30 N dipilih Hyundai-Sime Darby Motors – bahagian permotoran kumpulan Sime Darby untuk gimik penjualan 12-12 di portal Lazada?

Abjad ‘N’ dalam jenama i30 N menunjukkan model ini hasil keluaran bahagian permotoran prestasi tinggi keluaran pusat penyelidikan dan inovasi syarikat Hyundai yang berpengakalan di dua lokasi – Namyang di Korea dan Nurburgring di Jerman.

Hyundai tidak ketinggalan mengikuti perkembangan industri permotoran, di mana syarikat seperti Toyota, Honda dan Renault memilih untuk mewujudkan jenama sampingan (sub-brand) dalam usaha menyuntik ciri prestasi tinggi perlumbaan bertujuan menarik pembeli muda.

Bagi 20 pembeli yang berjaya menembusi talian Lazada pada jualan mega 12.12, mereka sudah tentu akan menyambut tahun baharu nanti dengan penuh gaya.

* Foto: (Dari kiri):Datuk Aishah Ahmad, Presiden Persatuan Otomotif Malaysia (Malaysia Automotive Association – MAA); Luca Suino, Pengarah Permotoran (Director of Motors,  Lazada), Low Yuan Lung, Pengarah Urusan Hyundai-Sime Darby Motors (Managing Director of Hyundai-Sime Darby Motors); dan Andrew Basham, Pengarah Urusan Bahagian Pemotoran Sime Darby (Managing Director of Sime Darby Motors Division)





Source link